Andi Bernadee elak berdendam - Utusan Malaysia

Andi Bernadee elak berdendam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Memilih untuk menjalani kehidupan yang tenang, sehingga ke saat ini, tiada sebab untuk dia menyimpan dendam. Dia sedia memaafkan sesiapa juga yang cuba menyakiti dirinya sama ada melalui zahir atau batin. Bagi Andi Bernadee, sebagai manusia dia juga tidak lari dari melakukan kesilapan.

Sempat membuka kisah mistik yang dilaluinya tempoh hari, ketika ini ada yang masih mempersoalkan niatnya berkongsi apa yang berlaku. Menolak mencari perhatian, bagi selebriti kacak ini bukan niatnya juga mencipta gimik.

Mengakui apa yang dilaluinya itu sukar untuk diterjemah dengan kata-kata namun balas Andi jangan pernah menolak kejadian yang mungkin dipandang aneh ini.

“Pada saya senang sahaja, bila kita kena baru kita tahu. Dahulu pun saya kurang peduli tentang hal ini, tapi bila sudah lalui, barulah saya tahu. Mahu percaya, tidak mahu percaya semuanya ada.

“Kita tahu syaitan tu wujud. Jahat juga ada dalam dunia kita ni, tidak mustahil perkara begini ada dalam dunia kita. Manusia pun ada yang baik dan ada yang jahat. Percaya atau tidak tentang hal mistik, terpulang kepada hak masing-masing. Tetapi bagi saya sendiri, sentiasa berdoa agar dijauhi daripada hal-hal mistik ni,”katanya kepada Pancaindera.

Tidak mahu mencari salah atau menyimpan dendam, bagi jejaka berusia 29 tahun ini dia yakin apa yang berlaku atas kehendak Tuhan. Sentiasa mencari ruang untuk memperbaiki diri, fokusnya hanya satu, kesihatan diri. Reda dengan dugaan yang dilalui, bagi penyanyi dan pelakon kelahiran Sabah ini, dengan apa yang berlaku dia juga masih menerima rawatan alternatif.

“Saya sentiasa memaafkan orang. Saya tidak suka bermusuhan dengan sesiapa pun. Prinsip saya senang, mahu menjalani hidup aman damai. Kalau boleh saya tidak mahu ada masalah. Sama ada masalah kerja atau pun masalah peribadi.

“Soal rawatan, sukar untuk dijelaskan apa yang dilalui. Perasaan itu bukan sesuatu yang boleh diterjemah melalui ayat. Cuma saya akan ikut nasihat ustaz dan amalkan apa yang diajar untuk dijauhi daripada perkara atau perbuatan sihir,”katanya.

Mahu semua pihak sentiasa mengamalkan kehidupan yang positif, nasihat Andi atau nama sebenarnya Andi Azrul Andi Mapangile jangan pernah membelakangi ajaran agama. Tahu ada yang menggunakan cara yang salah untuk mencapai sesuatu di dunia, tambahnya elakkan meletakkan nafsu sebelum membuat keputusan.

“Masing masing ingin hidup dan mencari rezeki. Semua orang berusaha untuk berjaya. Jangan kerana orang lain berjaya kita dengki dan terus kita khianati orang tu sampai dia musnah dengan menggunakan sihir.

“Jadi jauhilah dan janganlah buat perkara perkara syirik. Cubalah jadi manusia normal. Amalkan hidup bermasyarakat dan bergaul dengan semua orang. Kita kalau mahu berjaya juga kena berusaha. Tak boleh goyang kaki. Jadi nasihat saya, jangan ada dengki dalam diri, buang perasaan tu jauh jauh,”jelas penyanyi yang cukup popular melalui lagu Donde ini.

Cinta Andi

Sengaja mengorek kisah peribadinya ketika ini, ternyata tiada apa yang mahu diselindungkan dirinya. Masih berstatus solo, jelasnya bukan satu yang mengejutkan untuk menerima pelawaan ramai wanita menjadi kekasih mereka.

Melihat ini antara perkara yang akan dilalui selebriti bagi Andi keikhlasan adalah tujuan setiap hubungan.

“Status kini masih lagi solo, ikutkan tidaklah sibuk mencari. Mungkin sebagai seorang lelaki normal untuk memberi tumpuan kepada kerjaya dahulu dalam memastikan kita bersedia ke arah itu.

Cuma bila ada yang mencuba berkenalan melalui laman sosial itu memang ada. Bagi saya perkara biasa agaknya.

Sementara itu kalau ada yang mengikuti laman sosialnya pasti tahu Andi juga sebenarnya baru sahaja menjalani pembedahan beberapa minggu lalu. Berada dalam fasa pemulihan kini, janji Andi sesibuk mana juga dia, kesihatan adalah yang paling utama.

“Selain memenuhi jadual lakonan kini, antara yang menjadi fokus saya kini adalah untuk mempromosikan lagu terbaharu saya, Kais Pagi Kais Petang. Bagaimanapun sesibuk mana kerja tidaklah sampai mengabaikan kesihatan.

“Pembedahan yang berlangsung tempoh hari semakin pulih cuma tidak boleh lasak sangat.. Buat masa ini memang saya ada ambil makanan tambahan untuk tenaga, bekerja dalam bidang ini memang tidak tentu masa tetapi bukanlah alasan untuk mengabaikan kesihatan,”akhirinya.

Pandemik

Berkongsi perkembangan terkini, ternyata hampir dua tahun melalui tempoh pandemik ini mengubah dimensi kariernya. Sentiasa mencari ruang memajukan diri, kala ini bergelar seorang penyanyi bukan sesuatu yang mudah. Bersyukur dengan peluang yang sentiasa disediakan, siapa sangka dunia lakonan menjadi penyambung rezekinya pula.

“Bila bergelar anak seni, apa sahaja tawaran yang masuk saya akan terima. Memang dalam tempoh ini dunia nyanyian agak suram. Tidak dinafikan dalam keadaan sekarang panggilan untuk mengadakan persembahan memang tidak boleh dilakukan.

“Tetapi siapa sangka dalam rezeki itu datang dalam pelbagai cara, bila dapat peluang untuk mencuba nasib sebagai pelakon saya terima. Ikutkan tidak lari mana pun masih dalam bidang seni. Cuma apa yang cukup saya terharu bagaimana rakan artis lain banyak membantu. Persahabatan yang terjalin ini saya hargai, memandangkan sebagai orang baharu kita memang memerlukan banyak tunjuk ajar,”katanya semangat.

Masih berlegar soal pandemik, bukan isu baharu untuk mendengar ada golongan selebriti yang dikatakan sengaja menimbulkan kemarahan dengan melanggar prosedur operasi standard (SOP). Melihat ini sebagai satu tanggungjawab bersama, untuk mengekang penularan Covid-19, tegas Andi janganlah ada yang bersikap penting diri.

“Semua pihak perlu menggalas tanggungjawab yang sama. Macam saya sendiri, memulakan norma baharu dalam kehidupan bukan sesuatu yang sukar mana pun. Jika ada peminat mahu bergambar, saya akan cakap jaga jarak.

“Lepas itu jika kita mahu ke mana mana, patuhilah SOP, orang lain boleh patuh kenapa kita tidak? Sama-sam kita ikut SOP tak kira apa darjat kita pun, sebab virus ini tak memilih,”tambahnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN