fbpx

24 Jun 2021, 10:28 am

  TERKINI

Wujud kelompok tidak sependapat dengan Ahmad Zahid – Rais

RAIS Yatim menanam pokok sempena Program Gotong-Royong Bersama Yayasan Budi di Pusat Kebudayaan Orang Asli Mah Meri Kampung Sungai Bumbun, Pulau Carey, Kuala Langat, Selangor hari ini. - FOTO/ZULFADHLI ZAKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LANGAT: Tindakan kesemua Menteri UMNO terus kekal berada di dalam Kabinet membuktikan bahawa wujud kelompok yang tidak bersependapat dengan Presidennya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Pemimpin veteran politik, Tan Sri Dr. Rais Yatim berkata, pendirian menteri-menteri parti itu turut menimbulkan persoalan sama ada mereka masih ‘bersama’ dengan Ahmad Zahid atau sebaliknya.

“Adakah mereka bersama Presiden sedang mereka tidak meletakkan jawatan. Tidak letak jawatan itu memang pedih juga dan diibaratkan umpama menarik nafas daripada hidung.

“Ini bermakna ada beberapa kelompok dalam UMNO yang tidak sama dengan pendirian Presiden parti tersebut,” katanya kepada pemberita di sini hari.

Terdahulu Rais menanam pokok sempena Program Gotong-Royong Bersama Yayasan Budi di Pusat Kebudayaan Orang Asli Mah Meri Kampung Sungai Bumbun, Pulau Carey, di sini.

Semalam, Utusan Malaysia melaporkan kesemua Menteri UMNO akan terus kekal berada di dalam Kabinet atas kesepakatan dan setelah menerima nasihat daripada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Kesepakatan itu dicapai selepas Menteri-Menteri daripada UMNO itu menemui beliau kelmarin bagi meminta nasihat mengenai kedudukan mereka di dalam Kabinet.

Rais yang juga Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Jelebu berkata, setakat ini, apa yang didengari rakyat ketika ini hanya kenyataan daripada Ahmad Zahid dan mungkin tidak dirasai golongan bawahan.

“Pendirian yang begitu tegas ini mungkin mencernakan pandangan bahawa orang Melayu dan Islam mesti bersatu supaya kuasa di negara ini tidak lepas kepada pihak lain. 

“Pada hemat saya, menjadi tanggungjawab kepada Presiden (UMNO) menyatukan orang Melayu. Jika Bersatu dan Pas boleh merasakannya, kenapa tidak UMNO?” ujarnya.

Tambah beliau yang juga Yang Dipertua Dewan Negara, soal perjuangan orang Melayu dan Islam perlu terus diletakkan pada tahap tertinggi.

“Usaha itu mesti dilakukan demi kepentingan bangsa Melayu, Islam dan negara ini. Masyarakat Cina boleh bersatu padu dan kenapa kita yang menjadi kaum majoriti tidak boleh berbuat demikian,” katanya. – UTUSAN ONLINE