Watikah isytihar kemerdekaan hanya salinan - Arkib Negara

Watikah isytihar kemerdekaan hanya salinan – Arkib Negara

AZEMI ABDUL AZIZ
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Watikah pengisytiharan kemerdekaan yang asli hanya ada di Arkib Negara, sekali gus mengesahkan watikah yang dimiliki oleh pesara guru, Ramli Abu Itam atau Cikgu Ramli merupakan watikah salinan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Pengarah Arkib Negara, Datuk Azemi Abdul Aziz mendedahkan, watikah itu disalin dan diedarkan pada khalayak ramai ketika detik bersejarah negara mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957.

Katanya, watikah salinan itu kemudiannya ada yang dijual beli dan ada yang dijadikan sebagai simpanan peribadi, tetapi watikah asli kekal dalam simpanan Arkib Negara.

“Watikah asli hanya ada pada Arkib Negara, yang diberi tanggungjawab oleh Jabatan Perdana Menteri untuk memelihara watikah itu. Watikah itu ada dalam tulisan rumi dan Jawi, bersaiz lebih kurang A1, mempunyai ‘casing’ malah kami memiliki pen tandatangan watikah yang digunakan oleh Tunku Abdul Rahman.

“Namun, kami tidak dapat mengenal pasti berapa banyak watikah salinan di luar sana, tapi kalau nak buktikan asal usul watikah itu dengan mengadakan ujian kertas, bolehlah datang ke Arkib Negara. Kami boleh mengesahkan kesahihannya,” katanya.

Bagaimanapun, Azemi berkata, pihaknya tidak akan mengambil tindakan selanjutnya terhadap pemilik watikah salinan meman­dangkan watikah yang asli berada dalam jagaan Arkib Negara.

Semalam, Utusan Malaysia melaporkan Cikgu Ramli mendakwa beliau menyimpan watikah asli yang dibaca dan ditandatangani bekas Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman ketika melaungkan pengisytiharan kemerdekaan negara di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur pada 31 Ogos 1957.

Beliau menyimpan watikah pengisytiharan kemerdekaan negara yang ditulis dalam tulisan Jawi itu di Galeri Cikgu Ramli di Chemor, Perak sejak membelinya pada tahun 1998.

Sementara itu, pihak Muzium Perak sedia memeriksa ketulenan watikah pengisytiharan kemerdekaan negara yang didakwa sebagai asli yang dimiliki Cikgu Ramli.

Pengarahnya, Nor Janati Ibrahim berkata, pihaknya tidak dapat membuat pengesahan sama ada ia watikah asli selagi belum membuat kajian terhadapnya.

Namun, katanya, beliau difahamkan watikah asal pengisytha­ran kemerdekaan negara yang ditandatangani bekas Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman ada dalam simpanan Arkib Negara.

Katanya, jika Arkib Negara sudah menyimpan sesuatu dokumen asal, tiada salinan lain akan dibuat terhadap sesuatu dokumen.

“Original atau tidak, saya kena tengok dahulu. Arkib Negara ada simpan yang original namun kita akan tengok. Mesti ada pakar manuskrip yang sahkan ia asli atau tidak, kena buat ujian untuk membuktikan kesahihannya.

“Jika bukan yang asli, mungkin ia watikah salinan yang disangkakan asli atau ia watikah yang ditulis semula.

“Pernah berlaku di Kedah, seorang individu mendakwa ada menyimpan watikah asal pengisytiharan kemerdekaan dan mahu menjualnya dengan harga RM10,000 tapi sekali tengok kita dah tahu itu watikah fotostat,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.

Menurut Nor Janati, pihaknya sedia untuk berjumpa dengan individu yang memiliki watikah berkenaan dalam masa terdekat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya