Video raya promosi judi cemar kesucian Ramadan

Pemuda Amanah lapor polis video raya promosi judi cemar kesucian Ramadan

MOHD. Ikhmal Mohd. Iskandar (kiri) dan Ahli Jawatankuasa Pemuda Amanah Perak, Hamry Ibrahim menunjukkan laporan polis yang dibuat di Balai Polis Seri Manjung, Lumut, Perak, hari ini. - FOTO/SHAMSUL KAMAL AMARUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT: Pemuda Amanah Perak hari ini membuat laporan polis berhubung penyebaran klip video sambutan hari raya yang mempromosi judi dalam talian.

Laporan polis dibuat oleh Pengarah Komunikasinya, Mohd. Ikhmal Mohd. Iskandar di Balai Polis Seri Manjung dekat sini, petang tadi.

Dalam laporannya, Mohd. Ikhmal berkata, lirik klip video itu mendorong orang ramai berjudi dengan membuka akaun judi dalam talian menggunakan nombor tertentu.

“Lagu itu sangat tidak sesuai dan mencemari kesucian dan keberkatan bulan Ramadan yang menjanjikan pengampunan kepada sesiapa yang menghidupkan bulan tersebut dengan amal soleh,” katanya selepas membuat laporan polis.

Menurutnya, lebih mendukacitakan apabila pelakon dalam video itu kelihatan seperti orang Melayu beragama Islam.

Katanya, tindakan mereka berlakon dalam video berdurasi dua minit satu saat itu tidak selari dengan pegangan dan anutan agama Islam yang sangat melarang promosi kegiatan perjudian dalam sebarang bentuk instrumen.

“Diharapkan pihak polis dapat melakukan siasatan terhadap perkara itu bagi menghentikan penyebaran video itu dan memastikan kegiatan judi dalam talian tidak berlaku lagi masa hadapan,” katanya.

Mohd. Ikhmal berkata, pihaknya berasa sangat marah dengan penularan lagu raya tersebut di beberapa platform media sosial baru-baru ini.

Katanya, Pemuda Amanah Perak sentiasa mengalu-alukan mana-mana karyawan untuk berkarya dalam mengembangkan kreativiti masing-masing.

“Walau bagaimanapun, penerbitan lagu raya berunsur judi online ini sangat tidak boleh diterima akal dan menyinggung hati umat Islam keseluruhan,” jelasnya.

Justeru,  katanya, pihaknya mendesak agensi berkaitan seperti pihak polis dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia dapat mengambil tindakan segera bagi membendung penyebaran lagu raya tersebut dan membanteras aktiviti judi dalam talian daripada terus berleluasa. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya