Tiga lelaki bertengkar diberkas - Mohamad Farouk

Tiga lelaki bertengkar diberkas 

MOHAMAD FAROUK ESHAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tiga lelaki termasuk dua beradik ditahan polis disyaki terlibat dalam pergaduhan dan insiden memecahkan cermin kereta di Taman Permata, di sini semalam.

Kejadian berlaku pukul 4.15 petang apabila seorang lelaki berusia 49 tahun yang menunggang motosikal mendapati sebuah teksi berhenti secara mengejut.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, lelaki itu kemudian turun dari motosikalnya dan menarik keluar pemandu teksi terbabit dari kenderaannya dan menegur cara pemanduan hingga berlaku pertengkaran antara mereka.

Beliau berkata, penunggang motosikal itu pulang ke rumah sebelum membawa besi dan memecahkan cermin kanan belakang teksi dan cermin depan kanan kereta Proton Satria milik adik pemandu teksi itu di kawasan pasar raya di Taman Permata di sini. 

“Akibat itu, pemandu teksi dan adiknya masing-masing berusia 25 dan 26 tahun itu telah pergi ke rumah lelaki itu untuk memukul serta mengugutnya.

“Siasatan awal mendapati lelaki terbabit dan keluarga pemandu teksi itu tinggal di kawasan perumahan sama dan mempunyai masalah kejiranan sebelum ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 

Mohamad Farouk berkata, susulan itu pihaknya menahan dua beradik itu disyaki melakukan ugutan serta mencederakan orang manakala seorang lagi lelaki berusia 49 tahun ditahan kerana bertindak khianat memecahkan cermin kereta.

Tambahnya, semua suspek direman empat hari mengikut Seksyen 323/506 dan 427 Kanun keseksaan. 

“Orang awam dinasihatkan supaya lebih berhati-hati ketika memandu kenderaan di jalan raya bagi mengelak kejadian tidak diingini.

“Selain itu, kita juga mengingatkan orang ramai tidak mengambil tindakan terburu-buru atau mengikut perasaan jika berlaku sesuatu insiden, sebaliknya membuat laporan polis supaya tindakan undang-undang boleh diambil,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya