JOHOR BAHRU: Pencemaran Sungai Kim Kim, Pasir Gudang, di sini tidak mampu dipulihkan sekiranya tidak mendapat kerjasama daripada semua pihak khususnya masyarakat setempat yang menetap dan bekerja di kawasan berhampiran serta sektor perindustrian terlibat.
Malah kesukaran pemulihan sungai tersebut ditambah lagi dengan faktor tiada tempoh spesifik dapat ditetapkan bila pencemaran itu dapat kembali kepada keadaan normal memandangkan faktor penduduk dan pemain industri berkaitan di kawasan sekitar merupakan perkara terpenting.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor, Dr. Famey Yusoff berkata, ini kerana pencemaran di sungai berkenaan tidak hanya melibatkan sisa buangan industri, tetapi juga sisa kumbahan penduduk.

Mengakui Sungai Kim Kim yang memang berada dalam kategori tercemar sebelum tragedi Mac 2019, beliau berkata, jika perkara itu dilakukan iaitu kerjasama semua pihak, ia sekali gus akan meningkatkan kualiti air di sungai berkenaan.
“Tidak mustahil untuk dilaksanakan, tetapi, perlu kerjasama semua terutamanya industri yang melepaskan efluen dan air kumbahan ke Sungai Kim Kim. Jika dapat memastikan jumlah beban yang masuk ke dalam sungai ini kurang daripada jumlah yang boleh ditampung oleh sungai, ia dapat bantu pulihkan keadaan dan status sungai,” katanya di sini hari ini.
Kelmarin, Utusan Malaysia melaporkan, keadaan Sungai Kim Kim dan anak sungainya iaitu Sungai Selangkah berada dalam keadaan tenat ekoran parameter Keperluan Oksigen Biokimia (BOD) dan Ammonia as N mencatatkan bacaan tinggi.
Malah, hasil analisis yang dilakukan bersama sebuah makmal bebas terhadap sampel air kedua-dua sungai itu pada 5 Mac lalu turut merekodkan bacaan Escherichia coli atau E. coli berkali-kali ganda di Sungai Kim Kim iaitu 410,000 CFU/100mL berbanding 400 CFU/100mL untuk sungai dalam kelas IIB.
Mengulas keputusan analisis tersebut, Famey menjelaskan, hasil dapatan pencemaran sungai bergantung kepada lokasi sampel air diambil kerana lokasi berbeza akan membawa kepada keputusan yang berlainan dan situasi itu tidak terhad kepada Sungai Kim Kim sahaja.
Katanya, kandungan bacaan BOD dan Ammonia dipengaruhi beberapa faktor antaranya kawasan sampel yang diambil seperti di hulu atau hilir, aliran air sungai, faktor cuaca dan jenis sumber pencemaran seperti daripada kawasan perindustrian, perumahan, pasar dan air larian permukaan di sepanjang sungai tersebut.
“JAS Johor sentiasa membuat pemantauan berkala di Sungai Kim Kim dan melalui pemantauan pada tahun 2020 yang dibuat, tahap bacaan BOD dan Ammonia di hilir sungai berada pada Kelas IV dan V.
“Untuk makluman, JAS Johor menjalankan persampelan secara manual sebanyak enam kali setahun di dua lokasi berasingan di Sungai Kim Kim,” katanya memaklumkan BOD dipengaruhi oleh bahan pencemar organik dan Ammonia biasanya datang daripada sisa kumbahan.
Sementara itu, bagi memastikan tahap kualiti pencemaran di Sungai Kim Kim sentiasa terkawal, Famey berkata, pihaknya mempunyai pendekatan jangka masa pendek dan jangka masa panjang dalam berdepan perkara itu. – UTUSAN











