Permohonan Pejuang cabar Menteri Dalam Negeri, RoS 31 Mei - Utusan Malaysia

Permohonan Pejuang cabar Menteri Dalam Negeri, RoS 31 Mei

Muhammad Rafique Rashid Ali (tiga dari kiri) bersama barisan peguam mewakili Pejuang hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi pengurusan kes berhubung pendaftaran parti itu.-UTUSAN/ NORLIZAH ABAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 31 Mei ini bagi mendengar permohonan Parti Pejuang Tanahair (Pejuang) untuk mencabar tindakan Menteri Dalam Negeri dan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) yang belum membuat keputusan terhadap rayuan mereka untuk mendaftarkan parti itu.

Hakim Datuk Ahmad Kamal Md. Shahid ketika menetapkan tarikh tersebut pada pengurusan kes hari ini berkata, mahkamah perlu mendengar kes itu dengan kadar segera kerana ia merupakan kes kepentingan awam.

Sehubungan itu, beliau mengarahkan responden memfailkan afidavit jawapan sebelum atau pada 3 Mei ini manakala pemohon perlu memfailkan afidavit balasan sebelum atau pada 10 Mei. Kedua-duanya juga perlu memfailkan hujahan bertulis sebelum atau pada 27 Mei.

Peguam Muhammad Rafique Rashid Ali mewakili Pejuang selaku pemohon manakala Peguam Kanan Persekutuan Nik Isfahanie Tasnim Wan Ab. Rahman mewakili responden iaitu Menteri Dalam Negeri dan RoS.

Pada 1 April lalu, Pejuang memperoleh kebenaran Mahkamah Tinggi bagi mencabar tindakan Menteri Dalam Negeri dan RoS yang belum membuat keputusan terhadap rayuan mereka untuk mendaftarkan parti itu, selepas Jabatan Peguam Negara tidak membantah permohonan parti itu.

Pada 1 Mac lalu, Setiausaha Agung Jawatankuasa Penaja Pejuang, Datuk Amiruddin Hamzah memfailkan permohonan kebenaran semakan kehakiman dengan menamakan Menteri
Dalam Negeri dan RoS sebagai responden pertama dan kedua.

Dalam permohonan itu, Amiruddin antaranya memohon deklarasi bahawa kegagalan responden pertama untuk membuat sebarang keputusan terhadap surat rayuan parti Pejuang pada 8 Januari lalu berkenaan penolakan pendaftaran oleh responden kedua telah melanggar kewajipan statutorinya di bawah Seksyen 18 Akta Pertubuhan 1966.

Beliau juga memohon deklarasi bahawa pelanggaran kewajipan statutori responden pertama untuk membuat sebarang keputusan terhadap rayuan parti Pejuang itu berkenaan penolakan
pendaftaran oleh responden kedua adalah tidak munasabah, berniat jahat, satu bentuk percubaan tidak wajar untuk menafikan hak berperlembagaan pemohon untuk berpersatuan dan bertanding dalam pilihan raya umum menggunakan logonya sendiri.

Pada 2 Februari lalu media melaporkan, Pejuang yang diasaskan oleh bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad telah mengemukakan rayuan kepada Menteri Dalam Negeri berhubung pendaftaran parti itu setelah permohonan mereka ditolak.

Hamzah pula dilaporkan berkata permohonan pendaftaran Pejuang ditolak pada 6 Januari lalu berdasarkan peruntukan Seksyen 7(3)(e) Akta Pertubuhan 1966 dan parti itu boleh
mengemukakan rayuan kepada Menteri Dalam Negeri dalam tempoh 30 hari dari tarikh keputusan.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya