PETALING JAYA: Rakyat sekali lagi terbeban dengan peningkatan mendadak harga runcit barangan hampir di seluruh negara ketika umat Islam menjalani hari pertama ibadat puasa.
Peningkatan ini dipercayai berpunca daripada tindakan pengeluar dan ‘orang tengah’ yang memanipulasi harga untuk mengaut keuntungan luar biasa sejak setahun lalu dengan memberikan alasan harga makanan ternakan melambung dan kekurangan bekalan ikan.
Tinjauan Utusan Malaysia di pasar-pasar basah seluruh negara mendapati harga daging lembu naik antara RM2 hingga RM8 daripada harga asal RM30 sekilogram kepada RM38 sekilogram.
Ayam proses dijual pada RM7.30 hingga RM9.50 sekilogram berbanding harga siling RM6.50 yang ditetapkan manakala sayur sawi dijual RM18 sekilogram berbanding sebelumnya RM13.
Harga ikan kembung meningkat antara RM22 hingga RM25 sekilogram berbanding RM20 hingga RM23 sekilogram, kerisi antara RM15 hingga RM18 sekilogram berbanding RM12 hingga RM15 dan pelaling RM8 hingga RM15 sekilogram di percayai kekurangan bekalan.
Namun, harga beberapa jenis ikan lain kekal antaranya selar RM15 sekilogram, ikan cencaru (RM10 sekilogram), ikan tongkol (RM9 sekilogram), ikan selayang (RM8 sekilogram) dan ikan bawal (RM11 sekilogram).
Di KEDAH, kenaikan harga barangan basah seperti ayam, daging dan sayuran secara mendadak memberi kesan kepada peniaga makanan khususnya mereka yang akan menjalankan perniagaan sepanjang Ramadan ini.
Tinjauan ke beberapa pasar basah dan kedai mendapati, sebelum ini harga ayam dijual RM8.20 sekilogram naik RM9 sekilogram manakala daging tempatan pula dijual antara RM36 hingga RM38 sekilogram.
Bahan mentah lain seperti sayuran hijau juga lebih mahal dengan kenaikan antara RM3 ke RM4 sekilogram menyebabkan peniaga mula merungut.
Di TERENGGANU, pengguna terbeban kerana peniaga ayam dan daging di sini menaikkan harga ayam dan daging.
Peniaga ayam di Pasar Batu Enam, Mohd. Mazlin Mohammad, 38, berkata, sejak Mac lalu harga ayam naik lima kali.
Dia meminta orang ramai agar tidak menuding jari kepada peniaga berikutan harga ayam dan daging yang melambung di pasaran.
“Ada pembekal yang mengambil kesempatan menjual pada harga tinggi sebelum kerajaan mengenakan harga”. “Walaupun pembeli merungut tetapi kami tiada pilihan lain kerana harga yang dijual pembekal di ladang-ladang pun sudah mahal,” katanya.
Di KELANTAN, harga sayur dan barang basah naik antara RM1 hingga RM5 di pasar-pasar utama.
Tinjauan di Pasar Siti Khadijah di sini mendapati, orang ramai merungut kerana kenaikan berlaku mengejut, namun tiada pilihan lain dan terpaksa membeli seperti biasa.
Paling ketara, harga ayam yang dijual RM7.30 hingga RM7.50 sekilogram berbanding RM6.50 sebelum ini manakala sawi RM18 sekilogram berbanding harga lama RM13.
Namun, harga ikan seperti selar kekela RM15 sekilogram.RM10 sekilogram), ikan tongkol (RM9 sekilogram), ikan selayang (RM8 sekilogram) dan ikan bawal (RM11 sekilogram).
Pembeli, Mohd. Adnan Mohd. Nordin 46, berkata, dia yang menjual menu nasi Arab terpaksa menyerap kenaikan kos bagi menyiapkan juadah yang ditempah pelanggan lebih awal.
Di PULAU PINANG, peniaga sayur terkejut dengan kenaikan mendadak harga bagi sekilogram sawi, Pak Choi dan daun bawang yang dijual pembekal malah menyifatkan situasi kali ini lebih teruk berbanding sebelumnya.
Tinjauan di beberapa pasar awam di daerah barat daya di sini mendapati, harga bagi tiga jenis sayur-sayuran itu naik sekitar RM3 hingga RM4 berbanding dua minggu lalu.
Malah, peniaga juga difahamkan sudah berdepan kenaikan harga sayur-sayuran yang sangat ketara itu sejak Isnin lalu, seminggu sebelum umat Islam menyambut Ramadan.
Sawi dijual RM10 sekilogram berbanding sebelum ini hanya RM6, Pak Choi dijual RM12 hingga RM15 daripada RM10 manakala daun bawang RM25 daripada RM21 sekilogram.
Disebabkan kenaikan tersebut, rata-rata peniaga terpaksa menaikkan harga jualan kepada pengguna biarpun berdepan kerugian seperti daun rosak dan layu.
Di PAHANG, keluhan peniaga tentang kenaikan harga barang mula kedengaran walaupun umat Islam baru sahaja memulakan ibadah puasa.
Tinjauan di Pasar Besar Kuantan di sini mendapati beberapa jenis barang basah seperti ikan, sayur dan ayam mengalami peningkatan beberapa hari sebelum puasa.
Selain cuaca, sikap ‘orang tengah’ yang mengambil kesempatan menaikkan harga antara faktor yang menyebabkan kekurangan bekalan dan keadaan berlanjutan apabila tiba Ramadan.
Sawi dijual RM6 ke RM7 sekilogram, berbanding sebelum ini RM3 ke RM4 sahaja.
Daun bawang naik RM25 sekilogram berbanding sebelum Ramadan RM6 sekilogram.
Bagaimanapun harga tomato mengalami penurunan RM3 berbanding RM8 sebelumnya.
Di PERAK, harga ayam, ikan dan daging di pasar besar Teluk Intan naik berikutan permintaan yang tinggi semasa Ramadan.
Ini termasuk ikan tongkol daripada RM12 sekilogram sebelum ini kepada RM16, cencaru RM10 kepada RM12 sekilogram, ayam dari RM8.80 kepada RM9.80 sekilogram dan daging RM32 kepada RM35 sekilogram.
Peniaga ikan, Zambry Karim, 62 berkata, sebelum Ramadan, ikan tongkol dijual RM12 sekilogram, namun naik RM16 manakala cencaru sebelum ini kebiasaan dijual RM10 sekilogram tapi naik kepada RM12.
“Memang ada pelanggan yang bertanya mengapa ikan naik harga pada bulan puasa dan semasa nak dekat hari raya? Saya pun beli pada harga yang tinggi,” katanya.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Melaka, Norena Jaafar berkata, meskipun berlaku peningkatan permintaan bahan mentah berikutan operasi bazar Ramadan, pemantauan harian yang dijalankan mendapati para peniaga mematuhi harga kawalan.
Beliau berkata, peniaga-peniaga di bazar Ramadan juga diingatkan supaya tidak mengambil kesempatan dengan mengenakan harga yang melampau.
“Kita sentiasa melakukan pemantauan dan setakat ini tiada laporan kenaikan harga barang yang diterima terutamanya bahan mentah seperti ayam dan sebagainya,” katanya. – UTUSAN










