Habuan RM20,000 sebulan komplot godam sistem imigresen - Utusan Malaysia

Habuan RM20,000 sebulan komplot godam sistem imigresen

Ketua SPRM, Datuk Seri Azam Baki (dua dari kiri) bersama Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud (tiga dari kiri) memeriksa kereta-kereta mewah yang disita daripada sindiket Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) palsu selepas sidang akhbar bersama di Kuala Lumpur pada 6 April 2021. – UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Dua pengkhianat Jabatan Imigresen tergamak meletakkan peranti dalam komputer jabatan tersebut untuk digodam sindiket mencetak Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) warga asing selepas diberi habuan RM5,000 hingga RM20,000 sebulan untuk setiap orang.

Malah kedua-dua kakitangan imigresen itu juga didakwa boleh buat duit sehingga RM100,000 dalam keadaan tertentu mengikut tugas diberikan sindiket.

Menerusi peranti tersebut, sindiket diketuai seorang Datuk berusia 43 tahun berkenaan mampu menggodam Sistem Imigresen Malaysia (MyIMMs) untuk mencetak PLKS di luar Jabatan Imigresen.

Memuatkan artikel berkaitan…

Bayaran kepada kedua-dua pengkhianat Gred KP19 dikatakan makin banyak jika sindiket dapat mencetak lebih banyak PLKS pada satu-satu masa.

Kegiatan kakitangan imigresen berusia dan 39 itu yang bertugas di Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya itu terbongkar apabila mereka diberkas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bersama empat empat pekerja teknikal syarikat MyIMMs di Putrajaya semalam.

Mendedahkan kepada Utusan Malaysia, sumber berkata, dua kakitangan itu berperanan sebagai penghubung bagi meletakkan ‘router’ (penghala) di komputer-komputer tertentu di dalam Jabatan Imigresen.

Selepas itu, ahli sindiket terlibat menggodam kata laluan (ID) sistem pegawai imigresen bagi mencetak PLKS palsu dari luar pejabat Jabatan Imigresen.

Difahamkan, sekurang-kurangnya 15 komputer di Jabatan Imigresen, Putrajaya telah diletakkan ‘router’ oleh dua kakitangan imigresen terbabit.

Kata sumber, sindiket ini dipercayai menyewa bilik hotel ternama di sekitar Kuala Lumpur untuk dijadikan pusat operasi penggodaman seterusnya mencetak PLKS.

“Penahanan dua kakitangan imigresen dan empat pekerja teknikal MyIMMs membawa kepada penemuan beberapa komputer di Jabatan Imigresen di Putrajaya yang dilengkapi dengan peranti serta perisian penggodaman.

“Rentetan itu beberapa perkakasan IT dan komputer selain External Hard Disk milik pekerja syarikat pembekal MyIMMs disita SPRM dari pejabat Jabatan Imigresen untuk siasatan lanjut,” katanya di sini semalam.

Mengulas lanjut, sumber itu berkata, habuan dibayar sindiket kepada kakitangan terlibat dilakukan secara tunai dan ada juga dimasukkan ke dalam akaun peribadi masing-masing.

“Siasatan SPRM masih tertumpu kepada maklumat-maklumat transaksi melalui akaun-akaun bank yang dikenal pasti,” jelasnya.

Tangkapan terbaru ini adalah lanjutan daripada operasi bersama Jabatan Imigresen yang dilakukan pada 6 April lalu di 22 lokasi di Kuala Lumpur dan Sungai Petani, Kedah.

Turut ditahan dalam siri tangkapan itu ialah dalang sindiket itu iaitu Datuk berusia 43 dan seorang bekas kakitangan kontrak Jabatan Imigresen bersama tiga lagi ejen yang menguruskan pekerja asing.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan tangkapan terbaru ini.

Menurut beliau, dua kakitangan imigresen berkenaan direman sehingga 16 April ini manakala empat pekerja teknikal MyIMMs dibebaskan.

Azam memberitahu, SPRM melihat isu penggodaman sebagai perbuatan serius kepada aspek keselamatan negara.

“Kesemua suspek akan disiasat dalam penglibatan mereka kerana bersekongkol dalam menggodam sistem imigresen. Segala sudut undang-undang jenayah akan dilihat dalam penglibatan mereka ini,” tegas beliau.

Difahamkan, kesan pembongkaran itu, MyIMMs akan digantikan dengan Sistem Imigresen Bersepadu Kebangsaan (NIISE).

Langkah tersebut sebagai penyelesaian jangka panjang dan mengelakkan kemungkinan ada lagi masalah penggodaman.

MyIMMs sudah berusia lebih 15 tahun. NISE sudah selesai proses perolehan dan fasa pertama pembangunan sistem itu dijadual akan bermula bulan ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini