PETALING JAYA: Pelakon dan pengacara, Rozita Che Wan mendedahkan dia kini dalam persiapan menyediakan 20 helai baju untuk sambutan Aidilfitri.
Jelas Rozita atau lebih mesra dengan panggilan Che Ta, walaupun tahu akan meraikan kehadiran Syawal kali ini dalam norma baharu, namun ini tidak memberi sebab untuk dia melupakan hasrat bergaya sepanjang Syawal kelak.
“Saya memang menyiapkan 20 helai baju untuk Aidilfitri kali ini, bukan saya sahaja sedondon dengan suami dan anak-anak. Ini pun dalam perjalanan mencari sampin, saya memang suka buat persiapan awal. Ikutkan sebelum puasa lagi sudah mula.
“Hari pertama kami memilih warna turquoise. Selebihnya akan ada pelbagai warna termasuk warna emas, biru, hijau dan banyak lagi.
“Tidak kisahlah hanya akan pakai di rumah, janji hari-hari ada baju raya,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sementara itu, bercakap mengenai perkembangan lain, kongsi Che Ta, 47, dia juga baru sahaja selesai merakamkan sebuah lagu untuk produk yang diwakilinya.
“Kalau ikutkan memang tidak mahu, tetapi apabila diminta memandangkan saya duta untuk produk itu jadi saya setuju. Memang malu dengar suara sendiri.
“Tetapi tidaklah susah mana, hanya 30 saat sahaja. Cuma untuk meneruskan kerjaya dalam bidang nyanyian memang tidak mungkinlah,” katanya. – UTUSAN










