PETALING JAYA : Syarikat pelaburan Brunei Investment Agency (BIA) menafikan agensi itu terlibat dalam skim pelaburan di Malaysia.
Memetik laporan Borneo Bulettin semalam, pelaburan yang mengaitkan BIA dipercayai telah dilakukan oleh individu yang tidak dikenali dan tiada kaitan dengan agensi pelaburan itu.
Kata laporan itu, BIA adalah sebuah syarikat berkanun yang menguruskan dana rizab umum bagi negara Brunei Darussalam.
“Justeru, ingin dijelaskan BIA tidak menawarkan sebarang skim pelaburan untuk orang ramai malah BIA juga tidak menerima sebarang dana atau pelaburan awam,” lapor portal berkenaan.
Pada 20 April lalu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Zainuddin Yaakob memberitahu Utusan Malaysia, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima sebanyak 104 laporan berhubung penipuan pelaburan dikenali Brunei Investment Agency (BIA) di seluruh negara membabitkan kerugian RM1.96 juta.
Daripada jumlah itu, laporan paling tinggi dicatatkan di Pulau Pinang apabila sebanyak 37 individu menjadi mangsa diikuti Johor (27 individu), Kuala Lumpur (12 individu), Selangor (sembilan individu), Perak (tujuh individu), Negeri Sembilan (enam individu) Melaka (tiga individu), Kedah (dua individu) dan Pahang (seorang).
Sehubungan itu, semua kertas siasatan disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – UTUSAN ONLINE