Bekalan benih padi sah lewat diedarkan - Pesawah

Bekalan benih padi yang sah, lewat diedarkan

SEBAHAGIAN daripada pesawah yang menyatakan kekecewaan mereka terhadap kelewatan pengedaran benih padi sah oleh NAFAS di Kampung Pulau Kabu, Kubang Pasu, hari ini. - FOTO/MOHD. RAFIE AZIMI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUBANG PASU: Masalah kelewatan pengedaran benih padi yang sah kini membelenggu sebahagian besar pesawah di seluruh tanah air hingga dibimbangi menjejaskan pengeluaran beras yang menjadi makanan ruji rakyat negara ini pada masa akan datang.

Pengerusi Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (Pesawah), Fuad Yaacob berkata, sehingga kini, Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) selaku pengedar tunggal, masih gagal membekalkan benih padi sah ke sebahagian besar kawasan di Semenanjung tanah air.

Keadaan itu katanya, merunsingkan kalangan pesawah ketika jadual penanaman padi terutamanya di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) yang membekalkan hingga 43 peratus bekalan padi negara pada tahun lepas, sepatutnya telah bermula pada 1 April lalu.

“Nafas dilantik sebagai pengedar tunggal benih padi sah oleh pihak kementerian sejak Disember 2020 dengan tujuan untuk mengawal harga, memastikan kualiti dan mengelakkan pengedaran yang lambat kepada petani. Keputusan ini pada awalnya diragui golongan petani namun pada masa itu kami mengambil sikap tunggu dan lihat.

“Akhirnya pada hari ini, kebimbangan kami mengenai kemampuan NAFAS nyata berasas. Masalah benih padi yang berlarutan sejak 2017 bukannya semakin baik sebaliknya kian parah,” katanya dalam sidang akhbar di Kampung Pulau Kabu, dekat sini hari ini. Hadir sama Pengerusi Badan Bertindak Petani MADA, Che Ani Mat Zain

Menerusi kenyataan dikeluarkan Pengerusi Jawatakuasa Pertanian Industri Makanan, Perusahaan Perladangan Komoditi dan Hal Ehwal Masyarakat India negeri, Azman Nasrudin di sini semalam, kelewatan pembekalan itu disebabkan oleh benih padi dari jenis MR297 yang dikehendaki petani, tiada dalam pasaran.  

Justeru, menurut Azman, NAFAS mencadangkan supaya kalangan petani menukar penggunaan benih MR297 kepada MR219 yang membolehkan masalah tersebut diatasi dalam tempoh seminggu.

Fuad menambah, kegagalan Nafas dan kerajaan dalam menangani isu ini mendatangkan keraguan kepada petani mengenai Program Smart Sawah Berskala Besar (SMART SBB) yang didakwa mampu meningkatkan hasil dan dijangka bermula Ogos depan.  

“Kalau isu asas berkaitan benih ini pun belum mampu diselesaikan, tidak mustahil SMART SBB itu juga akan bermasalah apatah lagi pelaksanaan program tersebut memerlukan kami menyerahkan sawah kepada syarikat-syarikat tertentu.

Sementara itu, Che Ani berkata, kalangan pesawah menolak 100 peratus cadangan NAFAS yang mahu kalangan petani menukar penggunaan benih padi tersebut.

“NAFAS mungkin tak tahu apa masalah MR219 itu. MR219 tak sesuai ditanam pada masa sekarang kerana batangnya lembut dan mudah rebah walaupun hasilnya baik.

“Keadaan itu kadang-kadang mampu menyebabkan hasil berkurangan hingga 50 peratus tetapi kalau dah MR297 itu tak ada juga, tak tahulah macam mana keadaannya nanti,” katanya.

Tambahnya, buat masa sekarang, kalangan petani turut muak dengan alasan kelewatan pengedaran benih padi MR297 berpunca daripada proses makmal di Jabatan Pertanian.

“Sejak bertahun dulu, itu sajalah alasan yang kami dengar. Takkanlah tak ada langsung cara untuk mengatasinya?” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya