Hormati, jangan bangkitkan sensitiviti umat Islam - Mufti Wilayah

Bangkit sensitiviti umat Islam – Mufti Wilayah

LUQMAN ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Semua pihak di negara ini diingatkan sentiasa menghormati agama Islam sebagai agama Persekutuan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan.

Menegaskan perkara itu, Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Luqman Abdullah berkata, isu penyiaran klip video mengandungi iklan judi sempena Aidilfitri secara tidak langsung membangkitkan sensitiviti dalam kalangan umat Islam. 

Pada masa sama, katanya, ia turut mencemarkan kemuliaan bulan Ramadan yang penuh dengan keberkatan.

“Justeru, saya ingin menyeru kepada semua yang terlibat dengan penyiaran klip video berkenaan agar segera bertaubat, memohon keampunan daripada Allah SWT dan tidak mengulangi perbuatan tersebut.

“Hindarilah sebarang perlakuan yang boleh mendatangkan fitnah kepada diri sendiri, masyarakat dan agama,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Baru-baru ini, tersebar sebuah rakaman klip video yang bertemakan sambutan Hari Raya Aidilfitri di Malaysia yang dikeluarkan sebuah syarikat berlatarkan aktiviti perjudian, loteri dan kasino dengan menggunakan nama GDBet333. 

Motif utama penularannya dipercayai bertujuan mengajak orang ramai khususnya umat Islam di negara ini bagi menyertai permainan tersebut demi kemeriahan sambutan Aidilfitri nanti.

Luqman berkata, dalam maksud lain, ia dilihat sebagai satu cubaan untuk menormalkan wasilah yang jelas bercanggah dengan tuntutan syarak dalam ikhtiar mendapatkan keuntungan.

Beliau menegaskan, sebarang bentuk perbuatan yang menjurus kepada pertaruhan atau perjudian adalah haram di dalam Islam.

Jelas beliau, hal ini demikian kerana Allah SWT berfirman di dalam al-Quran pada ayat 90 dalam surah al-Baqarah, bahawa aktiviti-aktiviti seperti berjudi, bertaruh nasib, meminum arak dan memuja berhala merupakan antara bentuk perbuatan syaitan yang wajib dijauhi. 

“Merujuk kepada isu terbabit, saya menyeru kepada umat Islam di negara ini agar menjauhi sebarang bentuk perbuatan yang boleh mengundang kemurkaan Allah SWT. 

“Matlamat untuk memperoleh kekayaan sama sekali tidak menghalalkan jalan-jalan seperti perjudian.

“Tambahan pula, larangan umat Islam di Malaysia daripada terlibat dengan aktiviti perjudian ini telah diwartakan dalam Seksyen 18, Akta 559, Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.