fbpx

15 Jun 2021, 9:01 am

  TERKINI

Amalan bekerja dari rumah wajar diteruskan – Cuepacs

ADNAN MAT
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menegaskan bahawa amalan bekerja dari rumah wajar diteruskan bukan sahaja dalam sektor awam tetapi juga sektor swasta bagi mengelakkan tercetusnya kluster baharu di tempat kerja.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Cuepacs, Adnan Mat berpendapat, kes Covid-19 masih lagi mencatatkan empat angka dan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan masih lagi di peringkat fasa pertama.

Malah, katanya amalan bekerja dari rumah telah mula menjadi norma dalam perkhidmatan awam dan amalan tersebut terbukti efektif kerana tetap membolehkan sistem penyampaian perkhidmatan awam kepada rakyat terus beroperasi seperti biasa.

“CUEPACS melihat langkah bekerja dari rumah ini adalah amat penting sebelum negara benar-benar pulih atau mencapai imuniti berkelompok. Apa yang penting sekarang ialah amalan ini dilaksanakan bagi mengekang penularan Covid-19 dan kewujudan kluster baharu di persekitaran kerja. 

“Amalan bekerja dari rumah juga membolehkan produktiviti dapat dioptimumkan sebaik mungkin berbanding risiko tercetusnya kluster di tempat kerja yang boleh mengakibatkan keseluruhan operasi kerja terpaksa ditutup sepenuhnya,” katanya.

Disebabkan itu juga, Adnan menasihatkan supaya majikan di sektor swasta tidak terburu-buru memulakan operasi pada kapasiti 100 peratus walaupun kebenaran telah diberikan oleh kerajaan, kerana segala pertimbangan perlu diberikan perhatian terutama daripada sudut kemampuan untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

“Sebelum ini segala SOP yang ditetapkan dilihat gagal dipatuhi sehingga mengakibatkan tercetusnya kluster di tempat kerja. Begitu juga di sektor awam, setiap ketua jabatan perlu menguruskan operasi dan sumber manusia dengan sebaiknya. 

“Penggunaan tenaga yang optimum di pejabat tanpa kehadiran penuh sudah pasti tidak akan menjejaskan operasi perkhidmatan awam selain mampu mengelakkan risiko jangkitan,” katanya.

Justeru, Adnan berpendapat amalan bekerja dari rumah ini wajar diteruskan sehingga negara benar-benar bebas daripada penularan Covid-19. 

“Implikasi pembatalan amalan ini cukup besar dan tidak dapat dijangka memandangkan kes jangkitan Covid-19 masih lagi tinggi. Kita tidak boleh mengambil risiko walaupun dengan kehadiran vaksin kerana jumlah mereka yang menerima suntikan tersebut masih lagi rendah,” katanya. – UTUSAN ONLINE

POPULAR

KOSMO! TERKINI

BERITA BERKAITAN