JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri memaklumkan sebanyak 27 buah sekolah di Johor telah ditutup secara berperingkat bermula tiga hari lalu selepas terdapat kes positif Covid-19 dikesan di institusi berkenaan.
Penutupan itu melibatkan 10 buah sekolah agama manakala 17 yang lain merupakan sekolah kebangsaan, sekolah menengah dan sekolah jenis kebangsaan.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya Johor, Mazlan Bujang berkata, penutupan sekolah di bawah Kementerian Pendidikan berkenaan adalah selama tujuh hari.
“Penutupan selama seminggu dibuat bagi membolehkan ujian calitan dijalankan terhadap individu terlibat selain proses sanitasi dijalankan. Masyarakat bagaimanapun tidak perlu berasa bimbang kerana keadaan masih terkawal,” katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.
Mazlan mengulas senarai 29 buah sekolah dan institusi yang didakwa merekodkan kes positif Covid-19 baharu yang tular dalam media sosial baru-baru ini.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Tosrin Jarvanthi pula memberitahu, penutupan 10 buah sekolah agama itu melibatkan empat buah daerah.
Katanya, daerah terlibat adalah Johor Bahru, Kulai, Kota Tinggi dan Mersing.
“Sekolah agama terlibat adalah Sekolah Agama (SA) Tambatan Tinggi; SA Taman Muhibah; SA Kota Kulai 2; SA Taman Sri Saujana; SA Teriang; SA Tan Sri Abd. Kadir; SA Bandar Endau; SA Semanyir; SA Belukar Juling dan SA Pusat Air Tawar.
“Penutupan sekolah agama ini dibuat antara empat hingga 11 hari mengikut kawasan,” ujarnya.
Dua hari lalu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor R.Vidyananthan memaklumkan seramai 159 pelajar daripada lima sekolah di daerah ini telah diarah menjalani ujian calitan di Pusat Sehenti Penilaian Covid-19 di Pasir Gudang dan Bukit Indah.
Vidyananthan berkata, tindakan awal telah dijalankan bagi memastikan tiada penularan berlaku di sekolah yang dikenal pasti. -UTUSAN ONLINE










