fbpx

28 Jun 2022, 1:28 pm

  TERKINI

Terus terkesan sehingga 2022

HAMPIR satu pertiga atau 31 peratus CEO mengunjurkan dunia akan pulih hujung tahun ini. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sebanyak 45 peratus daripada 500 Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) di seluruh dunia tidak menjangkakan keadaan akan kembali normal seperti sebelum pandemik sekurang-kurangnya sehingga 2022.

Bagaimanapun, pertubuhan global firma perkhidmatan profesional bebas, KPMG menerusi kajiannya turut menjelaskan, hampir satu pertiga atau 31 peratus CEO pula mengunjurkan ia akan berlaku hujung tahun ini.

Menariknya, hanya enam peratus CEO di Asia Pasifik meramalkan keadaan kembali normal dengan majoriti besar (59 peratus) membayangkan ia hanya akan berlaku pada 2022.

Tinjauan turut mendapati hampir dua pertiga atau 61 peratus CEO akan melihat sejauh mana kejayaan vaksin Covid-19, dengan sekurang-kurangnya separuh daripada penduduk sudah divaksin sebelum memanggil pekerja mereka kembali ke pejabat.

Selain itu, sembilan daripada 10 pemimpin syarikat bagaimanapun berhasrat meminta pekerja mereka membuat laporan sama ada sudah divaksin atau tidak bagi melindungi pekerja yang lain.

Pengarah Urusan KPMG Malaysia, Datuk Johan Idris berkata, pelancaran program vaksinasi memberikan para pemimpin tahap optimis dalam membuat persediaan menghadapi norma baharu namun mereka mahu benar-benar yakin tenaga kerja mereka dilindungi daripada virus Covid-19 sebelum membuat sebarang keputusan perniagaan yang penting.

“Perkara ini kita dapat lihat berdasarkan pendapat mereka mengenai perniagaan akan kembali normal pada 2022,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Menurutnya, tahun lalu CEO berdepan cabaran untuk membiasakan perniagaan dengan norma baharu dan membangunkan kaedah kreatif untuk mengekalkan perniagaan dalam situasi tidak menentu.

Namun ujarnya, kini satu pertiga daripada CEO Asia Pasifik mempertimbangkan perubahan model perniagaan buat selama-lamanya.

“Peneraju perniagaan ketika ini harus melihat dengan serius impak jangka panjang pandemik dan merebut peluang mentafsir semula norma baharu ini,” jelasnya.

Antara pandangan penting dalam kalangan CEO Asia Pasifik menerusi tinjauan itu adalah sebanyak 68 peratus daripada mereka turut menyarankan dorongan atau pengaktifan sebagai galakan untuk perniagaan kembali seperti biasa manakala 82 peratus daripadanya bersetuju perkongsian awam-swasta adalah penting dalam membina infrastruktur digital dan inovasi demi kelangsungan perniagaan. – UTUSAN ONLINE

POPULAR

KOSMO! TERKINI