Tambahan 144 katil di HTAN - Utusan Malaysia

Tambahan 144 katil di HTAN

EDDIN Syazlee Shith menyempurnakan simbolik pecah tanah projek pada Majlis Penyerahan SST dan Pecah Tanah Bagi Projek Blok Tambahan HTAN Kuala Pilah, Negeri Sembilan, hari ini. - UTUSAN/BADRUL HAFIZAN MAT ISA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA PILAH: Pembinaan blok bangunan tambahan di Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN), dekat sini yang bermula esok membolehkan hospital tersebut mempunyai kapasiti sebanyak 458 katil secara keseluruhan apabila dijangka siap pada tahun 2024.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Eddin Syazlee Shith berkata, pembinaan dengan peruntukan sebanyak RM139.3 juta itu menambah sebanyak 144 buah katil lagi daripada jumlah katil sedia ada dan pembinaan blok tambahan itu turut melibatkan kemudahan klinik pakar serta dewan bedah.

“Komponen bagi projek ini melibatkan pembinaan blok bangunan utama setinggi enam tingkat yang merangkumi pelbagai jabatan dan kemudahan sekali gus menyediakan perkhidmatan bertaraf tinggi kepada rakyat khususnya di kawasan Kuala Pilah.

“Bangunan utama itu juga nanti menempatkan antaranya jabatan kecemasan dan trauma, klinik pakar, wad pesakit, unit rawatan rapi, farmasi dan klinik penjagaan harian. Projek ini turut melibatkan bangunan sokongan selain pembangunan ifrastruktur lain seperti 750 lot tempat letak kereta,” katanya.

Eddin Syazlee yang juga Ahli Parlimen Kuala Pilah berkata demikian sewaktu berucap menyempurnakan Majlis Penyerahan Surat Setuju Terima (SST) dan Pecah Tanah Bagi Projek Blok Tambahan HTAN, hari ini.

Yang hadir sama Timbalan Menteri Kesihatan II, Datuk Aaron Agong Dagang dan Ketua Pengarah Kerja Raya, Datuk Mohamad Zulkefly Sulaiman.

Dalam pada itu, menurut Eddin Syazlee, projek bangunan tambahan tersebut dibina menggunakan kaedah sistem binaan berindustri (IBS) secara sistematik dan bagi tujuan mengurangkan pembaziran.

“Penggunaan binaan struktur yang direka bentuk menggunakan dimensi koordinasi modular terbukti dapat mempercepat proses pembinaan sesuatu projek. Skor IBS yang ditetapkan bagi projek ini adalah 70 peratus,” katanya.

Sementara itu, katanya, menerusi data terkini ke atas status pelaksanaan projek Kementerian Kesihatan dari tahun 2006 hingga 2021, sejumlah 199 projek diuruskan Jabatan Kerja Raya (JKR) dengan kos berjumlah RM14.2 bilion merangkumi 77 projek di peringkat pra pembinaan, 81 projek di peringkat pembinaan dan 41 projek di peringkat serahan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya