Tak ikut SOP: Neelofa mungkin dipanggil polis - Utusan Malaysia

Tak ikut SOP: Neelofa mungkin dipanggil polis

Neelofa mungkin dipanggil polis bagi membantu siasatan kes didakwa langgar SOP ketika majlis pernikahannya di sebuah hotel di ibu negara Ahad lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ahli keluarga selebriti popular, Neelofa akan diambil keterangan hari ini bagi membantu siasatan berhubung pematuhan prosedur operasi standard (SOP) majlis pernikahannya yang berlangsung di sebuah hotel di sini, Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, selain ahli keluarga Neelofa, penganjur acara majlis tersebut turut dipanggil bagi memberi keterangan.

“Sepatutnya kita ambil keterangan penganjur acara hari ini (semalam) namun ditangguh esok (hari ini) bersama keluarga Neelofa.

“Setakat ini, kita juga telah mengambil keterangan beberapa saksi termasuk pekerja hotel,” kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Ketika ditanya sama ada Neelofa akan hadir bagi dirakam percakapan, Mohamad Zainal tidak menolak kemungkinan itu.

Mohamad Zainal meminta orang ramai untuk tidak salah faham berhubung pengeluaran kompaun terhadap kesalahan melanggar prosedur operasi standard (SOP).

Jelasnya, pihak polis menerima maklumat selepas gambar berkenaan tular kerana majlis diadakan secara tertutup.

“Kalaulah majlis itu masih berjalan dan ketika itu juga polis menerima laporan mengenai pelanggaran SOP, sudah pasti kita akan ke lokasi dan mengeluarkan kompaun,” katanya.

Tambahnya, siasatan perlu dijalankan bagi mengenal pasti gambar yang tular termasuk kesahihan gambar terbabit sebelum tindakan lanjut diambil.

“Masyarakat tidak perlu khuatir, tidak ada pilih bulu dalam pelaksanaan SOP, tindakan sewajarnya akan di ambil selepas kertas siasatan lengkap dan diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara,” katanya.

Kelmarin, polis memaklumkan membuka kertas siasatan majlis pernikahan Neelofa dan pendakwah bebas, PU Riz mengikut Seksyen 21A Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Ini susulan warganet mempersoalkan majlis perkahwinan Neelofa, 32, pelakon dan pendakwah bebas, Muhammad Haris Mohd Ismail atau PU Riz, 26, yang didakwa tidak mengikut SOP.

Dakwa warganet, tiada penjarakan fizikal di majlis yang berlangsung di sebuah hotel di ibu negara itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN