Saya kenal anak-anak saya - Zila Bakarin - Utusan Malaysia

Saya kenal anak-anak saya – Zila Bakarin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MULA mengenakan tudung sejak tahun lalu, pada mulanya ramai yang tidak percaya dengan tranformasi yang berlaku ke atas pelakon ini. Terkenal sebagai antara artis yang cukup berani berpakaian ternyata penampilan Zila Bakarin kini cukup dikagumi. Bagaimanapun berkongsi luahan dengan Kekda baru-baru ini, kongsi pelakon yang terkenal melalui watak antagonis dalam drama Melayu ini terkilan dengan sikap pengguna laman sosial yang dilihatnya begitu melampau dalam mempersoalkan tanggungjawabnya sebagai seorang ibu. Tidak menolak nasihat namun bagi Zila,46, ada cara yang lebih baik daripada memberi komen berbaur kecaman dalam laman Instagram miliknya.

Bila ada yang meninggalkan komen biadab mempersoalkan pemakaian anak-anak Zila?
Saya boleh terima nasihat tetapi ada caranya. Sebagai seorang ibu, memang saya yang membeli baju anak-anak. Ya, ada pakaian seksi tetapi saya tidak pernah melihat cara didikan dengan paksaan adalah yang betul. Mana-mana ibu bapa juga mahukan yang terbaik buat anak-anak mereka. Namun melihat cara komen itu bagi saya sangat kurang ajar yang dalam masa sama gaya seolah saya tidak pandai jaga anak. Walhal saya yang membesarkan anak-anak dan tentunya saya lebih kenal mereka. Sama seperti remaja lain Kaseh dan Chinta juga dalam fasa mencuba dan tidaklah saya membiarkan sahaja mereka buat keputusan sendiri terutamanya berpakaian. Saya akan beri panduan apa yang sesuai apa tidak.

Keadaan emosi anak-anak bila membaca komen seperti itu?
Saya memang akan padam dan sekat sahaja orang seperti itu dalam laman sosial saya. Namun sejak dari kecil lagi anak saya sudah diajar menjalani kehidupan yang positif. Tidak perlu terganggu dengan keadaan seperti ini. Malah sebagai ibu, saya juga beritahu mereka untuk sentiasa berkongsi apa sahaja masalah termasuk jika berhadapan dengan situasi seperti ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Berbalik kepada Zila, bila perkataan seksi itu masih dikaitkan dengan diri, malu tak?
Buat apa malu, saya sentiasa melihat kehidupan ini secara luas. Kita sebagai manusia juga akan sentiasa bergerak ke hadapan. Tiada apa yang boleh saya sembunyikan dalam dunia serba moden kini, dahulu atau sekarang saya masih orang yang sama. Bezanya pilihan saya kini untuk sentiasa memperbaiki diri. Sebab itu saya tidak kesal, sebagai manusia kita ada masa silam. Saya tidak berubah untuk manusia. Apa yang berlaku dalam diri saya ini hanya Allah SWT tahu. Saya juga bukan berada dalam posisi yang boleh minta jangan tayangkan drama saya ketika belum bertudung dan mustahil juga untuk memadam semua gambar saya di internet.

Komen Zila bila melihat ramai artis muda berani berpakaian seksi
Berada di tempat mereka dahulu, saya akui menggunakan pendekatan yang berbeza sedikit. Jujurnya sebagai seorang wanita saya tidak terlepas memuji artis-artis muda ini berpakaian sebab saya memang suka berfesyen. Namun jangan pernah menghukum mereka. Dalam memuji saya juga selitkan kata-kata semangat untuk mereka berubah, sebab kita tidak tahu perjalanan setiap manusia pada akhirnya. Saya kongsi dengan semua, kita lihat artis itu seksi tetapi di set penggambaran tidak pernah tinggal solat. Bila melihat keadaan ini saya yakin mereka ini bukanlah tidak boleh berubah, kena beri waktu.

Mana baju-baju zaman seksi dahulu, bakar ke?
Boleh saja bakar dan buang.Tetapi saya pilih yang masih elok dan beri kepada orang. Jangan salah sangka. Bukan kepada perempuan, sebab saya juga tidak mahu terus membawa dosa. Selalunya kepada rakan lelaki yang lembut-lembut ini, namun pesan juga jangan pakai seksi-seksi (ketawa). Selebihnya saya masih simpan tengoklah kalau mahu buat preloved.

Katanya tawaran selepas bertudung makin kurang?
Jujurnya memang benar. Tetapi saya tidak pernah salahkan keadaan dan sentiasa menerimanya dengan hati terbuka. Alah, rezeki dalam lakonan sahaja makin kurang tetapi siapa sangka rezeki lain pula yang banyak datang, Allah maha adil.

Betulkah ada minta buka tudung untuk dapat tawaran?
Bukan! Apa yang berlaku sebenarnya ada seorang rakan dalam industri menelefon saya sebelum ini bertanyakan mengenai penampilan saya. Katanya dia tidak tahu saya memang bertudung terus, jadi dia ingat mahu tawarkan watak. Jelas rakan ini tadi ingatkan saya macam beberapa pelakon yang di luar bertudung tetapi kalau di tempat penggambaran dia tidak kisah untuk buka tudung. Saya tidak begitu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini