PETALING JAYA: PKR memohon maaf kepada pengundi pada pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 kerana gagal menunaikan janji yang disebut dalam Manifesto sebelum ini.
Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil berkata, semua janji dalam manifesto itu mungkin boleh ditunaikan jika tidak berlaku Langkah Sheraton pada Mac 2020.
“Saya mohon maaf kepada pengundi di atas ketidakupayaan kami mengekang Langkah Sheraton. Langkah Sheraton ini dirancang sejurus selepas PR tapi saya tak sangka mereka akan lakukan perkara yang memang boleh kata mengkhianati pengundi sehingga pengundi merasakan buat apa keluar mengundi?
“Aku mengundi dia ni pun ‘si polan’ melompat pergi ke sana. Itu sebabnya waktu ahli parlimen UMNO mula melompat masuk ke Bersatu, saya dan ramai rakan tidak bersetuju,” kata beliau pada program Sembang Politik ‘adakah PH mampu terajui semula selepas PRU-15’ anjuran MMTV yang disiarkan secara langsung di laman sosial Facebook dan Kosmo! Online semalam.
Menurut beliau, tindakan lompat parti tersebut adalah perbuatan mengkhianat pengundi-pengundi yang memilih wakil rakyat berkenaan pada PRU-14.
Antara manifesto PH sebelum ini ialah menjanjikan untuk menagguhkan bayaran Pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bagi mereka yang berpendapatan RM4,000 ke bawah.
Bagaimanapun, bekas pengerusinya, Wan Saiful Wan Jan memaklumkan, hutang negara ketika itu terlalu banyak dengan hutang PTPTN sendiri mencecah RM40 bilion.
Peminjam PTPTN kena segera membayar kerana ia perlu digunakan oleh hampir 200,000 pelajar lain pula pada setiap tahun.
Selain itu, rakyat juga marah dengan isu agihan hibah sebanyak 1.25 peratus oleh Lembaga Tabung Haji (TH) kepada semua pendeposit bagi tahun kewangan 2018, sekali gus ia merupakan peratusan paling rendah dalam sejarah negara.
Bagaimanapun jelas Fahmi lagi, pihaknya kali ini akan meletakkan janji kepada rakyat yang lebih relevan, khususnya mengenai isu pendapatan, pekerjaan dan perumahan.
“Kita akan terus kukuhkan hubungan dalam parti PH, ia menjadi pegangan kita dan kita akan lihat terutama dalam keadaan sekarang, jumlah penganggur meningkat, rakyat masih harapkan apa yang kita perjuangkan itu boleh dizahirkan untuk mereka nikmati.
“Jadi, nasib rakyat dari segi pendapatan, isu perumahan, akan terus menjadi teras kepada usaha kami,” jelasnya. – UTUSAN









