PUTRAJAYA: Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Serumah, Daerah Kecil Siburan, Bahagian Serian, Sarawak ditamatkan esok.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Kementerian Kesihatan mengesahkan penurunan kes baharu wabak Covid-19 dan juga kluster adalah terkawal.
“Sehingga kini, kementerian itu telah melaksanakan 462 ujian saringan dan daripada jumlah tersebut, cuma 27 kes positif sudah direkodkan,” katanya menerusi kenyataan akhbar hari ini.
Kementerian tersebut turut melaporkan tiada lagi sampel saringan yang sedang menunggu keputusan daripada pihak makmal sejak PKDP dilaksanakan di lokaliti itu pada 7 Mac lalu.
Justeru ujar beliau, setelah dibuat penilaian risiko bersama dengan pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal, kerajaan bersetuju untuk menamatkan PKPD berkuat kuasa 20 Mac.
Perkampungan dengan 580 penduduk itu asalnya dari Daerah Kecil Padawan sebelum ditukar bersama 27 kampung lain pada 2015 ekoran Serian dipisahkan daripada Bahagian Kuching.
Lokaliti ini terletak di Jalan Bra’ang Payang tidak jauh kawasan peranginan Air Terjun Sebarau dan Borneo Dayak Longhouse Resort serta jarak 50 kilometer dari pusat bandar raya Kuching. – UTUSAN ONLINE










