Peranan APM diperluas merentasi agensi - Muhyiddin

Peranan APM diperluas merentasi agensi

MUHYIDDIN YASSIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KAJANG: Bagi meningkatkan keberkesanan perkhidmatan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), tugas kecemasan dan bencana diperluaskan dengan meliputi operasi khas bersepadu merentasi agensi.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, langkah ini bertujuan untuk memerangi pandemik Covid-19 khususnya di stesen-stesen atau pusat kuarantin, kawalan sempadan serta menerusi program pemerkasaan komuniti.

Beliau menegaskan kerajaan komited untuk memartabatkan peranan APM serta memastikan kebajikan warganya sentiasa terbela selaras elemen Pertahanan Awam seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan pemerkasaan APM menerusi semakan Akta APM 1951.

“Dalam memperkukuh peranan APM sebagai benteng pertahanan negara khususnya menyediakan perkhidmatan kemanusiaan di waktu kecemasan atau bencana, Kerajaan juga akan meneliti cadangan bagi inisiatif-inisiatif iaitu pembinaan kompleks pejabat dan pusat latihan di Perak, Sabah dan Sarawak untuk dilaksanakan dalam Rolling Plan 2 menerusi Rancangan Malaysia ke-12. 

“Kompleks ini bakal menjadi pusat pemindahan sementara atau temporary shelters untuk penduduk yang terkesan akibat bencana dan akan dilengkapi dengan Sistem Amaran Awam. 

“Selain itu, penambahbaikan atau penstrukturan semula jawatan tetap di pejabat-pejabat negeri dan daerah melalui Sekretariat Pengurusan Bencana. Saya difahamkan kini hanya terdapat 578 orang pegawai yang memegang jawatan tetap bagi pengurusan bencana di lapangan,” katanya ketika berucap dalam Majlis Sambutan Hari Ulang Tahun APM Ke-69 2021 dan Perasmian Bangunan Baharu Ibu Pejabat APM, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Muhyiddin menzahirkan penghargaan kepada seluruh anggota APM atas komitmen tinggi merentasi semua peringkat di samping bertungkus-lumus setiap masa dalam pengurusan bencana dan kecemasan termasuk membantu kerajaan sebagai petugas barisan hadapan dalam mengekang penularan virus Covid-19.

Perdana Menteri menjelaskan, semua warga terlibat digerakkan ke kawasan luar bandar dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang kini sedang giat dijalankan termasuklah membantu masyarakat setempat untuk melakukan pendaftaran vaksin. 

“Selain itu ada juga yang menjadi Agen Basmi Covid-19 melalui inisiatif Program Pemerkasaan Komuniti dengan kerjasama Jabatan Sukarelawan Malaysia, Kementerian Kesihatan serta Polis Diraja Malaysia. Saudara dan saudarilah yang menjadi aset dan sumber kekuatan APM dan sifat kesukarelawanan ini wajar dicontohi oleh semua,” katanya.

Kata beliau lagi, tema sambutan Hari Ulang APM tahun ini iaitu ‘Perlindungan Awam Mapan Menyelamatkan Ekonomi Negara’ amat bertepatan dengan usaha memulihkan ekonomi negara akibat kesan wabak Covid-19 yang melanda seluruh dunia sejak lebih setahun yang lalu.

Pada masa sama, beliau berharap APM dapat terus memainkan peranan untuk meningkatkan kesiapsiagaan masyarakat setempat di dalam menghadapi sebarang bentuk bencana dan kecemasan di peringkat negeri, daerah sehingga ke akar umbi. 

“Ini termasuklah turun ke lapangan dengan kerap untuk mendidik atau mengadakan libat urus bagi meningkatkan kesedaran orang ramai. 

“Langkah ini dapat memastikan mereka bersedia bertindak sebagai first-responder apabila berdepan dengan situasi kecemasan seperti bencana atau kebakaran,” ujar beliau. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya