PETALING JAYA: Kementerian Alam Sekitar dan Air melalui Jabatan Alam Sekitar (JAS) digesa lebih proaktif dalam menjalankan siasatan, penguatkuasaan dan pemantauan ketat terhadap semua sektor perkilangan di seluruh negara bagi memastikan tiada pencemaran berlaku.
Langkah itu bagi mengelakkan kes pencemaran udara beracun seperti yang berlaku di Pasir Gudang, Johor dua tahun lalu berulang sehingga menjejaskan lebih 5,000 penduduk akibat partikel kimia yang dilepaskan menerusi cerobong-cerobong asap kilang.

Penyelidik Lapangan Sahabat Alam Sekitar (SAM), Meor Razak Meor Abdul Rahman berkata, JAS sepatutnya mempunyai badan penyelia di peringkat daerah seperti mana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Jabatan Perhutanan yang mempunyai wakil di peringkat daerah masing-masing.
Tambahnya, peruntukan undang-undang di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 sudah ada namun pihak berkuasa masih cemerkap dalam memastikan pelaksanaan itu terus berjalan.
“Misal kata sesuatu kes pencemaran berlaku di daerah terbabit, pegawai bertugas di situ yang memainkan peranan.
Tetapi, JAS memberi alasan kakitangan kurang untuk menjalankan pemantau atau tiada aduan diterima daripada orang awam. Isu ini tidak sepatutnya timbul kerana ia bergantung kepada komitmen kerajaan sendiri,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, di sini semalam.

Senada dengan beliau, Presiden Persatuan Aktivitis Sahabat Alam (Kuasa), Hafizudin Nasarudin berkata, agensi kerajaan perlu melibatkan komuniti dan orang awam untuk bersama-sama memantau aktiviti perkilangan seperti membimbing mereka menggunakan alat pengukur bahan kimia udara dan membaca kualiti air bagi proses pemantauan.
Katanya yang berpengalaman sebagai juruaudit alam sekitar bahagian industri, mengaudit satu kilang mengambil masa yang lama justeru mustahil untuk mengaudit semua kilang setiap tahun sehingga kerajaan ‘terpaksa’ mengharapkan pihak industri melantik juruaudit dan membuat pemantauan sendiri.
Dalam pada itu, Jurukempen Greenpeace Malaysia, Heng Kiah Chun berkata, akta yang ada perlu dipinda yang mana jika didapati bersalah, mereka bukan sahaja didenda, penjara dan menanggung kos pembersihan malah menerima tuntutan pampasan daripada pihak mangsa. – UTUSAN ONLINE











