Pangsapuri tanpa penghuni terbakar - Utusan Malaysia

Pangsapuri tanpa penghuni terbakar

ANGGOTA bomba memeriksa kediaman yang terbakar di aras 10, Pangsapuri Serina Bay, Jelutong, Georgetown, Pulau Pinang pagi tadi. - IHSAN BOMBA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Tindakan pantas anggota bomba berjaya mengawal api daripada merebak ke unit-unit lain dalam kebakaran yang memusnahkan sebuah unit kediaman tanpa penghuni  di aras 10, Pangsapuri Serina Bay, Hilir Sungai Pinang, Jelutong pagi tadi. 

Kejadian kira-kira pukul 6 pagi itu berlaku apabila penghuni-penghuni blok berkenaan dikejutkan dengan jeritan jiran berhampiran. 

Difahamkan, kediaman berkenaan ditinggalkan kosong oleh pemilik kediaman selepas penyewanya terdiri sekumpulan warga asing berpindah sejak beberapa bulan lalu. 

Pegawai Operasi dari Balai Bomba Penyelamat Jalan Perak, Israhanafi Ismail ketika dihubungi Utusan Malaysia berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pukul 6.14 pagi dan tiba ke situ kurang 10 minit kemudian. 

“Kebakaran berlaku melibatkan sebuah kediaman jenis Kelas A yang di dalamnya masih terdapat beberapa kelengkapan perabot yang ditinggalkan penghuni. 

“Anggaran peratusan kemusnahan kebakaran adalah sebanyak 80 peratus dan kebakaran itu dapat dikawal pada pukul 6.33 pagi. 

“Kerja-kerja pemadaman dan pengawalan sedang dilakukan dan tiada mangsa yang dilaporkan terlibat dalam kejadian tersebut,” katanya. 

Beliau memberitahu, punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan pasukan forensik bomba. – UTUSAN  

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN