Keputusan hukuman ke atas 31 polis ambil masa - Utusan Malaysia

Keputusan hukuman ke atas 31 polis ambil masa

ABDUL HAMID BADOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Siasatan Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP) berhubung 31 warganya yang dikenal pasti bersekongkol dengan sindiket Macau Scam dan kegiatan perjudian dalam talian dijangka mengambil masa lebih lama.

Memberitahu Utusan Malaysia, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, pihak SPP perlu meneliti setiap laporan dengan terperinci selain perlu memangil saksi berhubung semua semua kes tersebut.

Justeru, kata beliau, keputusan hanya dapat diputuskan dalam tempoh sebulan atau le­bih daripada itu.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Siasatan yang dilakukan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) telah siap dan kes ini dibawa ke SPP kerana ia serius dan ia melibatkan pegawai-pegawai tinggi polis.

“Jadi pihak SPP sedang meneliti semua fail kes ini. Sekiranya SPP mendapati wujud salah laku serius maka ia boleh menetapkan hukuman sama ada buang kerja atau turun pangkat,” kata beliau ketika dihubungi semalam.

Mengulas lanjut, kata Abdul Hamid, sekiranya SPP mendapati bahawa kesalahan-kesalahan mereka tidak serius ataupun ketidakcukupan bukti pada kes-kes tersebut maka SPP juga boleh mengenakan hukuman lebih ringan.

“Hukuman yang dikenakan seperti lucut hak emolumen atau tahan kenaikan gaji selain denda atau lain-lain,” jelasnya.

Pada 3 Mac lalu, Abdul Hamid mendedahkan sebanyak 31 warganya yang dikenal pasti bersekongkol dengan sindiket Macau Scam dan terlibat dalam kegiatan perjudian dalam talian, bakal berdepan hukuman berat tidak lama lagi.

Dedah beliau, proses menjatuhkan hukuman ke atas mereka sudah dibawa kepada SPP yang dipengerusikan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan sindiket Macau Scam didalangi Zaidi Kanapiah atau lebih dikenali sebagai Addy Kanna dan Goh Leong Yeong atau Alvin Goh terbongkar selepas mereka ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Oktober tahun lalu.

Sindiket ini didapati menjalankan aktiviti penipuan Macau Scam dan judi dalam talian yang menyasarkan mangsa di China selain bekerjasama dengan kartel penipuan di luar negara.

Susulan itu, SPRM turut menahan serta me­nyoal siasat beberapa selebriti terkenal, pegawai dan anggota polis. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini