Karnival Kerjaya Agrikomoditi 2021 tawar 8,600 peluang kerja - Utusan Malaysia

Karnival Kerjaya Agrikomoditi 2021 tawar 8,600 peluang kerja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Karnival Kerjaya Agrikomoditi 2021 yang berlangsung hari ini dan esok menawarkan 8,600 peluang pekerjaan dalam sektor komoditi seperti sawit, getah, kayu kayan, kenaf, koko dan lada.

Lebih 26 majikan dalam sektor perladangan dan industri komoditi menyertai karnival ini selain pembabitan 3,000 peserta tempatan terdiri daripada siswazah dan komuniti Orang Asli.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Mohd. Khairuddin Aman Razali berkata, beliau mahu rakyat tempatan merebut peluang ini khususnya pencari kerja yang terkesan dengan pandemik Covid-19.

Beliau berkata, program karnival hari ini dilihat sebagai satu platform yang baik untuk membantu pihak industri mendapatkan pekerja dengan kadar segera.

“Kementerian menyedari bahawa kekurangan tenaga kerja di sektor perladangan dan industri komoditi adalah kritikal dan dikhuatiri boleh menjejaskan prestasi serta kemajuan industri  agrikomoditi negara.

“Justeru, kementerian akan terus bekerjasama dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) untuk membantu pihak industri mendapatkan tenaga kerja diperlukan dengan mengutamakan pekerja tempatan dan pekerja dalam kalangan orang asli,” katanya ketika melancarkan karnival berkenaan secara atas talian hari ini.

Karnival Kerjaya Agrikomoditi 2021 adalah program secara dalam talian anjuran bersama Kementerian Perusahaan Perladangan  dan Komoditi (KPPK), Perkeso dan Kementerian Sumber Manusia. 

Katanya, kerajaan amat prihatin dengan nasib rakyat ketika ini, walaupun mungkin bukan yang terbaik tetapi sekurang-kurangnya rakyat mendapat rezeki yang halal. 

Khairuddin berkata, kerajaan amat prihatin dan memahami situasi kekurangan tenaga kerja yang dihadapi oleh pihak industri susulan pandemik Covid-19 yang kini berada pada tahap membimbangkan. 

Bagi pencari kerja, pendaftaran untuk menyertai Karnival Kerjaya Agrikomoditi 2021 boleh dilakukan menerusi pautan  https://careerfair.perkeso.gov.my. 

Selain daripada sesi temuduga secara maya, program taklimat tentang Penjana Kerjaya 2.0 dan Portal MYFutureJobs serta sesi Webinar Peluang Kerjaya Di Sektor Agrikomoditi turut diadakan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya