KOTA KINABALU: Rakyat di negeri ini diminta berwaspada dengan kemungkinan berlakunya gempa bumi berskala besar di Lahad Datu dalam masa terdekat ini.
Pakar Geologi Sabah, Prof. Dr. Felix Tongkul menjangka gempa bumi bermagnitud 5.8 hingga 6.2 skala Richter boleh berlaku di kawasan tersebut.
Menurut beliau, gempa yang berlaku itu berpotensi menyebabkan kejadian tanah runtuh, keretakan dan kerosakan kepada struktur bangunan di kawasan tersebut kerana kebanyakan reka bentuk bangunan tidak tahan gempa bumi.
“Bagi gempa bumi berskala besar sebegitu, gegarannya akan turut dirasai di daerah sekitar Lahad Datu seperti di Kunak, Semporna dan Tawau,” kata beliau kepada Utusan Malaysia semalam.
Kali terakhir gempa bumi sebesar ini berlaku di Lahad Datu kira-kira 45 tahun lalu, iaitu pada 1976 dan 1923.
Pada 5 Jun 2015, 18 nyawa termasuk tiga malim gunung terkorban susulan gempa bumi berskala 6.0 skala Richter yang melanda Ranau. Gempa bumi itu turut menyebabkan berlakunya kejadian tanah runtuh di Kampung Kiau, Kota Belud serta membawa kepada keretakan beberapa struktur bangunan di Ranau dan Kota Belud.
Bagi kejadian gempa lemah berukuran 1 hingga 3 skala Richter pula, ia berlaku hampir setiap bulan di Sabah khususnya di Ranau, Lahad Datu, Kunak dan Kudat.
“Kejadian itu adalah normal dan tidak perlu dibimbangkan. Ini adalah proses pelepasan tenaga yang tersimpan dalam bumi di kawasan-kawasan tersebut.
“Selain itu, beberapa kawasan lain yang berdekatan di bahagian timur Sabah seperti Beluran dan Sandakan turut mengalami gempa lemah.
“Gempa lemah ini tidak ada kaitan dengan kejadian gempa yang besar, kecuali gempa susulan yang berlaku berdekatan dengan gempa besar sejurus selepas gempa besar berlaku,” katanya.
Gempa bumi lemah yang terakhir dilaporkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia di Sabah adalah pada 16 September 2020 di Beluran dengan magnitud 3.2 skala Richter.
Dr. Felix menasihatkan rakyat Sabah agar tidak terlalu bimbang dengan kejadian gempa lemah ini. – UTUSAN









