PUTRAJAYA: Pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan dipercepat bagi memastikan matlamat imuniti kelompok tercapai sekiranya jumlah vaksin diperoleh lebih banyak.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, pihaknya menggunakan empat fasa teratur bagi melindungi barisan hadapan, kumpulan berisiko tinggi dan rakyat negara ini.
Katanya, program imunisasi dibuat awal selepas Malaysia menerima vaksin dari Pfizer lebih awal dari tarikhnya.
“Sekiranya Malaysia menerima banyak bekalan vaksin dengan lebih awal maka kita akan percepatkan semua fasa.
“Saya memberi jaminan, fasa kedua dipercepat ke fasa pertama jika Malaysia peroleh jumlah vaksin yang banyak,” katanya dalam sidang akhbar sempena majlis pelancaran buku “The Covid-19 Chronicles Of Malaysia | Navigating The Storm di pejabatnya, di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada terdapat kemungkinan semua fasa dipercepat sekiranya setiap fasa tidak mencapai sasaran vaksinasi.
Adham berkata, malah fasa dua dan tiga yang dilaksanakan pada April dan Mei ini melibatkan pembabitan pengamal perubatan swasta.
“Ini bagi memastikan matlamat imuniti berkelompok dapat dicapai,” katanya. – UTUSAN ONLINE