fbpx

Himpunan Kalimah Allah: Penganjur diminta patuh arahan polis

SULAIMAN Md. Ali meluangkan masa melawat pelajar tahfiz di Pondok Tahfiz Baitussiddiq, Jalan Air Hitam, Melaka. - FOTO/RASUL AZLI SAMAD

ALOR GAJAH: Penganjur Himpunan Pertahankan Kalimah Allah yang akan berlangsung malam ini di Dataran Baitul Tariq, Klebang dekat sini diminta mematuhi arahan dan peraturan yang ditetapkan pihak berkuasa.

Ia susulan amaran tegas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador semalam, yang dilaporkan akan mengambil tindakan termasuk di bawah Akta Hasutan 1948 terhadap mereka yang mengadakan demonstrasi membantah keputusan mahkamah berhubung penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali berkata, meskipun keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan penganut Kristian menggunakan kalimah Allah dan tiga perkataan lain telah memberi tamparan hebat kepada umat Islam di negara ini, namun masih terdapat pelbagai lagi cara untuk mengekspresikan bantahan.

Beliau berkata, tambahan pula Melaka kini masih dalam fasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), aktiviti berbentuk perhimpunan atau demonstrasi sepatutnya tidak dianjurkan kerana ia bakal melibatkan kehadiran ramai orang.

“Apa yang nak dibuat oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam itu dalam istilah untuk mempertahankan kalimah Allah, saya bersetujulah.

“Saya berharap para-para peserta ikutilah saranan seperti mana yang telah ditentukan pihak berkuasa. Bantah kita boleh bantah, tapi banyak lagi kaedah atau cara untuk buat bantahan,” katanya ketika ditemui pemberita di kediamannya di Lendu, di sini hari ini.

Sebelum itu, Sulaiman telah meluangkan masa melawat dan beramah mesra bersama pelajar tahfiz ketika lawatan ke Pondok Tahfiz Baitussiddiq, Jalan Air Hitam di sini.

Terdahulu, Muafakat Ummah Melaka memaklumkan akan menganjurkan satu perhimpunan bagi mendesak kerajaan segera mengemukakan rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi itu.

Pengerusinya, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad berkata, perhimpunan yang akan diadakan secara aman akan dihadiri semua NGO Islam.

Beliau berkata, kesemua NGO Islam di Melaka khususnya membantah penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan agama Kristian, meskipun untuk tujuan pendidikan.

Perhimpunan pada pukul 9.30 malam ini dianjurkan Muafakat Ummah Melaka dengan kerjasama UMNO Bahagian Tangga Batu, Pas Melaka, Pas Bahagian Pantai Kundor, Muafakat Nasional (MN) Melaka, Prestij Melaka, Darul Ansar Melaka, Belia 4B Kota Melaka dan Jemaah Jihad Melaka. – UTUSAN ONLINE

BERITA BERKAITAN

Menarik di Kosmo!