KUALA LUMPUR: Kumpulan Nasyid terkenal, Hijjaz tampil dengan single kolaborasi bersama penyanyi rock dan rap menerusi lagu Seniman Agong Allahyarham Tan Seri P Ramlee, Tiada Kata Secantik Bahasa (TKSB 2020).
Mengulas pertanyaan Utusan Malaysia, selaku pencetus idea dengan mengambil lagu Seniman Agong dijadikan nafas baharu, anggota Hijjaz, Isman Nadim Isam berkata, dia tidak kisah seandainya ada pihak yang mempertikaikan tindakannya kerana dianggap sebagai mengambil jalan mudah.
“Apabila peluang sudah diberi Universal Music yang juga selaku pemegang hak cipta lagu-lagu Tan Seri P Ramlee, Hijjaz sambut baik malah ia akan memberi manfaat kepada Allahyarham.
“Kami ingin mengajak peminat untuk bersama-sama berselawat. Pada masa sama kali tidak mahu berada ditakuk sama. Pemilihan lagu itu kerana saya percaya ia malar segar dan dekat di hati semua orang.
“Sebagai variasi Hijjaz tampilkan penyanyi rock, Pasya iaitu pilihan saya, manakala duo rap popular, Kmy Kmo dan Luca Sickta sebagaimana cadangan pihak Universal,” jelasnya.
Menyangkal awal sekiranya ada yang mendakwa Hijjaz menggunakan populariti penyanyi baharu itu, jelas Isman Nadim, mereka sebaliknya mencari satu pembaharuan sebagai ‘wow’ faktor.
“Kalau nak kata untuk menaikkan nama, Hijjaz sedari awal pembabitan dalam industri sudah terkenal. Namun sebagai satu cara lain untuk tarik minat pendengar adalah dengan cara sebegini,” jelasnya.
Lagu itu boleh didengar di semua platform penstriman muzik seperti Spotify, Apple Music, Joox, Deezer dan KKBOX, manakala videonya boleh ditonton melalui saluran YouTube Universal Music Malaysia.










