MELAKA: Hasrat kerajaan negeri menyiapkan Pelabuhan Antarabangsa Kuala Linggi (KLIP) bernilai RM15 bilion, bukan sahaja menimbulkan polemik kepada nelayan tetapi turut mengancam populasi penyu karah.
Ini kerana, penyu karah yang disenaraikan sebagai spesies ‘sangat terancam’ sinonim menjadikan pantai-pantai di sekitar Alor Gajah dekat sini sebagai lokasi pendaratan dan bertelur.
Jika KLIP dimulakan pada April ini seperti direncanakan, ia berpotensi menganggu lima tempat utama pendaratan haiwan berkenaan iaitu di Kuala Linggi, Tanjung Serai, Meriam Patah, Tanjung Dahan dan Teluk Belanga.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Penyelidik di Pusat Pengajian Sains Kaji Hayat Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Sarahaizad Mohd. Salleh mendedahkan, aktiviti penambakan dan pengorekan induk, penebusgunaan tanah, pulau buatan dan sebagainya dengan jarak hanya 300 meter dari garis pantai berpotensi besar menganggu pendaratan penyu karah.

Beliau berkata, di rantau Asia Tenggara, hanya Melaka satu-satunya lokasi pendaratan paling tinggi spesies penyu terbabit dengan data 450 hingga 500 sarang tahunan yang direkodkan pada 2013 dan 2014.
Justeru, kata beliau, pembangunan yang dikejar itu tidak berbahloi dengan keunikan yang Melaka ada.
Jelasnya, senario itu terbukti di Sungai Udang apabila pembinaan sebuah loji penapisan telah menghapuskan lokasi pendaratan penyu karah di kawasan berkenaan.
“Ada penurunan dekat Pulau Upeh dan Sungai Udang, jadi di Sungai Udang ada loji penapisan. Dari tahun 2013 hingga 2014, saya buat projek data penyu, saya dapat kurang 30 sarang.
“Kemudian sekarang ini, dari tahun 2016 hingga 2019 sudah berubah jadi kosong sarang. Ini membuktikan ia memberi kesan kepada pendaratan penyu karah.
“Melaka hab penting penyu karah, kalau dekat Semenanjung hanya Melaka sahaja yang penyu karah mendarat. Di Asia Tenggara hanya ada di Vietnam dan Melaka, tapi Vietnam menunjukkan penurunan drastik kerana wujud aktiviti menangkap penyu karah untuk kulitnya yang bernilai tinggi,” katanya.
Baru-baru ini, kerajaan negeri mengumumkan sedia membatalkan KLIP sekiranya tidak mematuhi syarat pembangunan khususnya Kajian Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA).
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata, ia adalah keputusan lazim terhadap mana-mana projek pembangunan tambak laut di negeri ini, dan bukan hanya terpakai kepada KLIP sahaja.
Ia susulan kenyataan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun yang menyatakan, KLIP perlu mematuhi EIA, sekali gus memastikan projek itu tidak mendatangkan masalah kepada negerinya pada masa akan datang.
Bagaimanapun, Sarahaizah menambah, pujian harus diberikan kepada Jabatan Perikanan negeri yang dilihat sangat proaktif dalam usaha konservasi haiwan terancam itu.
Ujarnya, data terbaharu dari 2015 hingga 2019 menunjukkan,sebanyak 907 sarang tahunan direkodkan di lima lokasi utama iaitu 20 di Kuala Linggi, Tanjung Serai (213), Meriam Patah (225), Tanjung Dahan (330) dan Teluk Belanga (118).
Justeru, tegasnya, kerajaan negeri perlu berfikir dengan lebih mendalam tentang impak pembinaan KLIP yang bukan sahaja menganggu periuk nasi rakyat, malah boleh menghapuskan produk pelancongan bernilai tinggi.
“Kita tahu Melaka adalah negeri pelancongan, banyak chalet dan resort di sepanjang pantai tetapi Jabatan Perikanan negeri sangat serius dalam usaha konservasi penyu karah.
“Mereka letak pegawai-pegawai untuk pantau pendaratan penyu dan sebagainya. Jadi amat sayang kalau usaha ini jadi sia-sia, semata-mata nak mengejar pembangunan,” jelasnya. – UTUSAN











