Beri pekerja pilihan - Utusan Malaysia

Beri pekerja pilihan

BEKERJA dari rumah yang menjadi norma baharu sejak penularan pandemik Covid-19 wajar diteruskan dalam persekitaran yang lebih selesa. – UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Sektor awam dan swasta wajar mempertimbangkan secara serius opsyen untuk memberi pilihan kepada pekerja untuk meneruskan dasar atau polisi Bekerja Dari Rumah (BDR) secara tetap. Dasar ini mula dilaksanakan secara serius dan meluas sejak kerajaan menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mulai Mac tahun lalu. Setelah lebih setahun dilaksanakan, kita dapat lihat golongan pekerja yang terlibat sudah mula menyesuaikan diri dengan norma dan budaya kerja baharu ini dalam persekitaran yang lebih selesa dan bersedia secara mental dan fizikal. Lantas boleh dikatakan golongan pekerja sudah serasi dan menerima dasar ini sebagai pilihan yang terbaik untuk diteruskan walaupun selepas ancaman pandemik ini berakhir kelak.

Pada dasarnya, buat masa sekarang kerajaan masih mengekalkan polisi ini terutamanya di kawasan yang dikuatkuasakan PKP Bersyarat (PKPB). Justeru, memasuki fasa program imunisasi dan pasca pandemik, eloklah sektor awam dan swasta membuat kajian yang menyeluruh tentang kelebihan dan kelemahan polisi ini di sebalik pelaksanaannya sejak setahun yang lalu. Pekerja yang terlibat dan telah bekerja dari rumah sekian lama perlu dilibatkan secara menyeluruh untuk mendapatkan pandangan dan maklum balas mereka tentang pelaksanaan dasar ini.

Dalam konteks ini, tinjauan pendapat secara dalam talian yang telah dilakukan oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) pada 17 hingga 20 Julai lalu juga wajar diperhalusi kerana menunjukkan, sebanyak 81 peratus daripada 1,175 responden mengakui selesa bekerja dari rumah, manakala 50 peratus daripada keseluruhan responden memilih untuk bekerja beberapa hari di pejabat serta rumah, jika diberi pilihan. Ini menunjukkan kecenderungan golongan pekerja untuk mengadaptasi budaya kerja baharu ini mula meningkat dan menarik perhatian mereka sebagai satu pilihan yang bermanfaat.

Isu menerus dan memperluaskan dasar bekerja dari rumah ini kembali hangat diperbincangkan apabila baru-baru ini Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika dalam ucapan perasmian sambutan Hari Wanita 2021 Peringkat Kebangsaan telah meminta Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Kementerian Sumber Manusia (KSM) mengkaji kesesuaian memperluaskan kemudahan bekerja dari rumah bagi sektor awam dan swasta dengan gaji penuh. Menurut Muhyiddin, inisiatif ini antara lain membolehkan kakitangan awam dan swasta menjaga ahli keluarga yang uzur atau sakit atau memberi sokongan kepada isteri menjaga anak yang baru lahir, sekali gus menggalakkan rasa tanggungjawab bersama atau shared responsibility.

 

OPERATOR PENGELUARAN
Walaupun cadangan ini menjurus kepada kemudahan kepada golongan wanita, namun sewajarnya kemudahan ini diperluaskan kepada semua tanpa mengira jantina sebagai satu pilihan secara umum kepada semua pekerja. Ia juga selari dengan statistik semasa yang menunjukkan penyertaan tenaga buruh dalam kalangan lelaki adalah lebih tinggi dari wanita.

Kita akui bukan semua jenis pekerjaan terutamanya di sektor swasta dapat dilaksanakan dari rumah, namun itu bukan halangan untuk kita memberi pilihan kepada jenis pekerjaan yang bersesuaian. Operator pengeluaran di kilang atau pekerja di tapak pembinaan misalnya tidak sesuai bekerja dari rumah, tetapi kakitangan pentadbiran baik di kilang mahupun pejabat pembinaan mungkin tiada masalah untuk melaksanakan tugasan mereka dari rumah. Justeru kita berharap para majikan akan menerima cadangan ini dengan hati yang terbuka dan dengan pemikiran yang positif. Hal ini kerana kita dapat lihat banyak kelebihan jika dapat meneruskan budaya baharu ini baik di pihak majikan mahupun kepada kakitangan.

Antara kelebihan kepada majikan ialah, ia dapat mengurangkan kos operasi seperti sewa pejabat, bangunan, tempat letak kereta, bil utiliti dan penyelenggaraan. Kita perlu akui ini adalah antara kos yang sentiasa menghantui para majikan. Misalnya, bagi sektor awam yang tidak berpaksikan perniagaan dan keuntungan, sudah semestinya kos seperti ini akan menjejaskan bajet tahunan yang sepatutnya boleh disalurkan untuk pelbagai projek atau program kebajikan rakyat. Malah sektor swasta yang begitu mementingkan keuntungan pula, sudah semestinya mahu menjalankan operasi syarikat pada kos yang paling minimum dan keuntungan yang paling maksimum. Jadi penjimatan yang besar melalui kos wajib seperti ini pasti melegakan majikan.

Bagi golongan pekerja pula, antara kelebihan bekerja dari rumah ialah sudah semestinya dapat mengurangkan perbelanjaan terutamanya membabitkan kos pengangkutan sama ada kos pengangkutan awam atau kenderaan sendiri seperti kos petrol, tol dan parkir. Di samping itu, budaya kerja yang lebih fleksibel ini membolehkan mereka meluangkan masa yang lebih berkualiti di rumah bersama kaum keluarga serta dapat mengurangkan tekanan di tempat kerja sekali gus boleh meningkatkan produktiviti masing-masing.

Cuma apa yang diharapkan ialah, baik kerajaan mahupun majikan swasta perlu menyediakan kemudahan seperti internet dan komputer bagi membantu para pekerja melaksanakan tugas dari rumah dengan selesa dan efisien.

Tuntasnya, kalau sebelum ini bekerja dari rumah dianggap sesuatu yang sukar atau dianggap bukan budaya kerja di negara ini, sepanjang PKP kita dapat membuktikan ianya tidak mustahil. Justeru, para majikan perlu bersedia untuk melazimi kebiasaan baharu ini secara menyeluruh dan berilah pilihan kepada pekerja sama ada mahu bekerja secara fizikal atau bekerja dari rumah.

PENULIS ialah pentadbir universiti dan penganalisis isu semasa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×