Balik kampung? Tunggu dulu - Ismail Sabri Yaakob

Balik kampung? Tunggu dulu – Ismail Sabri 

ISMAIL SABRI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan menunggu penilaian risiko oleh Kementerian Kesihatan untuk menasihati sidang khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) sebelum membuat keputusan membenarkan pergerakan rentas negeri.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, walau bagaimanapun, kerajaan tidak mahu kes peningkatan mendadak berulang lagi berikutan kebenaran merentas negeri sehingga menyumbang kepada 32 kluster baharu hanya kerana kes balik kampung.

Kata beliau, sebab itu Kementerian Kesihatan memandang serius dalam membuat penilaian dengan mengambil contoh kes rumah panjang di Sarawak telah mengakibatkan negeri itu banyak bertukar kawasan merah yang sebelum ini merupakan negeri terbaik kawalan penularan jangkitan wabak Covid-19.

Begitu juga di Kelantan, kata beliau, lebih 65 peratus kawasan di negeri itu bertukar merah apabila kerajaan membuka sempadan negeri pada bulan Disember lalu sehingga menjejaskan status Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Ramai mahu kebenaran rentas negeri ini apabila kerajaan melonggarkan sedikit prosedur operasi standard (SOP) dengan membenarkan bazar Ramadan dan aktiviti dalam masjid. Namun setiap keputusan dibuat berdasarkan kepada nasihat Kementerian Kesihatan yang akan membuat penilaian sama ada boleh dibenarkan atau tidak (rentas negeri).

“Bagaimanapun Kementerian Kesihatan mahu kawalan rentas negeri perlu dilakukan dengan cara lebih tegas. Tengoklah nanti bulan Mei ini, kalau mengikut jangkaan Kementerian Kesihatan kes turun sehingga 500 kalau semua patuh SOP.

“Waktu itu Kementerian itu akan buat penialain risiko dan menasihatkan kita (MKN). Jadi mana-mana yang nak balik kampung, sama-sama kita doa supaya ada sedikit kelonggaran. Tapi yang penting kita patuh kepada SOP Insya-Allah kes turun cepat dari dijangkakan,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Dalam pada itu, Ismail Sabri  berkata, setiap negeri atau daerah perlu mengikuti apa yang diputuskan kerajaan terutama berkaitan dengan SOP PKP  kerana undang-undang  dipatuhi adalah di bawah Akta 342.

Namun, katanya, bagi kes pembukaan bazar Ramadan, pihak berkuasa tempatan daerah atau negeri boleh menyesuaikan mengikut keadaan tempat mereka terutama dari segi waktu operasi.

Beliau menjelaskan, bagi operasi kedai makan pula yang dihadkan sehingga 12 malam, mereka tidak boleh melebihi waktu tersebut tetapi boleh dikurangkan had waktu mengikut kesesuaian. 

“Secara dasarnya apa yang diumumkan Kerajaan Persekutuan sepatutnya ‘mengikat’ daerah, tetapi mereka boleh menyesuaikan dengan keadaan, kalau ada pindaan sedikit kita tidak menghalang. 

“Mungkin setengah negeri pada bulan puasa, mana-mana negeri nak sesuaikan untuk melaksanakan ibadat tarawih, nak kawal dari segi masa dan sebagainya, itu kita boleh serahkan kepada negeri berkaitan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN