Baja Taaveekun mampu tingkat hasil sawit peneroka

Baja Taaveekun mampu tingkat hasil sawit

RASMAN Ithnain (dua dari kiri) menabur baja pada pokok kelapa sawit sambil diperhatikan oleh pekerja ladang sempena Demontrasi Penaburan Perapi Tanah Taavekun di Ladang Kelapa Sawit Felda Aping Timur, Kota Tinggi, Johor. - FOTO/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA TINGGI: Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) mengadakan projek percubaan menggunakan baja jenama Taaveekun di beberapa ladang kelapa sawit milik badan tersebut di daerah ini bagi melihat sejauh mana suplemen itu mampu membantu meningkatkan jumlah pengeluaran hasil tanaman.

Ahli Lembaga Pengarah Felda, Rasman Ithnain berkata, percubaan tersebut akan dibuat melibatkan beberapa kawasan ladang di Felda Aping Barat, Felda Aping Timur dan Felda Bukit Ester, di sini.

Kata beliau, pihaknya mensasarkan jumlah peningkatan penghasilan buah antara 10 ke 15 peratus dalam masa enam bulan ke setahun dengan penggunaan baja berasaskan mineral itu sebelum dipertimbangkan untuk diperluas ke kawasan lain.

Jelasnya, ia adalah inisiatif yang dibuat oleh Felda yang tidak pernah dilakukan sebelum ini dengan memberi peluang kepada penggunaan baja yang berbeza dalam usaha membantu menambah pendapatan golongan peneroka bagi mencapai sasaran pendapatan RM5,000 sebulan bagi 10 ekar tanaman.

“Sebelum ini, kita hanya menggunakan baja yang diperoleh daripada pihak tertentu yang mendapat tender tersebut, jadi kali ini kita ingin membuat perubahan. Oleh itu, kita membuat percubaan pada hari ini untuk melihat sejauh mana ia mampu memberi pulangan dengan peningkatan hasil dalam setahun.

“Sekiranya berkesan dan mampu memberi pulangan baik, kita akan libatkan penggunaan baja Taaveekun ini kepada tanah peneroka Felda yang lain di masa akan datang,” katanya pada demonstrasi penaburan perapi tanah Taaveekun di Ladang Kelapa Sawit Aping Timur, di sini.

Rasman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sedili berharap, penggunaan baja tersebut dapat meningkatkan pengeluaran hasil tanaman sehingga 25 tan per hektar setahun berbanding sebelumnya iaitu 22.5 tan per hektar setiap tahun.

Katanya, hasil penggunaan baja itu boleh menampakkan hasil dalam masa setahun hingga dua tahun penggunaannya sebelum melihat potensi untuk diperluaskan ke kawasan ladang Felda yang lain.

“Sebelum ini, Felda membelanjakan hampir RM300 juta setahun untuk menyediakan penggunaan baja bagi kawasan di lot Felda dan lot peneroka. Harga baja ini tidak banyak berbeza, sekiranya Taaveekun mampu memberi nilai tambah kepada peneroka, lebih baik kita beralih kepada baja ini.

“Ini sudah menjadi matlamat kerajaan dan Pengerusi Felda sendiri yang melihat tanah rancangan ini sebagai lombong emas dan berhasrat untuk menambah baik pendapatan golongan peneroka di masa datang,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.