Anwar cuba jadi UMNO sebagai orang tengah - Hamzah

Anwar cuba jadi UMNO sebagai orang tengah

HAMZAH ZAINUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Perikatan Nasional (PN) menyifatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim mungkin tidak berminat lagi menjadi pembangkang apabila cuba membuat kerjasama dengan UMNO.

Dalam nada sindiran, Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, Presiden PKR itu barang kali sudah bosan kerana telah terlalu lama menjadi pihak pembangkang.

“Kita tidak tahu apa yang berlaku, mungkin dia (Anwar) pun tidak mahu lagi dianggap sebagai pembangkang sebab UMNO masih lagi berstatus anggota dalam kerajaan PN,” katanya.  

Beliau yang juga Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata demikian ketika ditanya reaksinya susulan tindakan terbaharu Anwar mahu bekerjasama dengan UMNO.

Sebelum itu, Hamzah yang juga Menteri Dalam Negeri melancarkan tiga bas ‘mobile’ Jabatan Pendaftaran Negara generasi baharu di pekarangan ibu pejabat jabatan itu di sini hari ini.

Kelmarin, Ketua Pembangkang itu pada sidang akhbar di Petaling Jaya, Selangor mendakwa konon sedia menjalinkan kerjasama dengan UMNO yang disokong beberapa pemimpinnya.

Walaupun perbincangan mengenai isu itu belum pun dibuat secara formal, Anwar berharap kerjasama tersebut ekoran tekad UMNO sendiri mahu memutuskan hubungan dengan PN.

Kenyataan terbaharu beliau itu dipercayai sebagai ‘perang propaganda’ selepas pada Ahad lalu mendakwa kononnya sudah ada perbincangan tidak rasmi antara PKR dan UMNO.

Bagaimanapun, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan sehari kemudian menyangkal kenyataan Anwar itu hanya sebagai helah permainan saraf pembangkang.

Mengulas lebih lanjut, Hamzah berkata, beliau mengesyaki Anwar kemungkinan besar mahu menjadikan UMNO sebagai ‘orang tengah’ untuk kembali semula bagi menyertai kerajaan.

“Apa yang mula terlintas apabila dengar cerita ini, saya berasa dia ada rancangan tertentu dan menjadikan UMNO sebagai orang tengah agar dia dapat balik memasuki kerajaan,” katanya.

Ahli Parlimen Port Dickson itu namun dipercayai pengamat politik tanah air sengaja membuat ‘cerita pelik’ tersebut selepas beberapa wakilnya bertindak keluar parti dan menyertai blok PN.

Tindakan ‘lompat katak’ mereka yang pernah terpalit dengan tuduhan jenayah dan siasatan pihak berkuasa itu mengakibatkan PKR pada ketika ini hanya tinggal 35 wakil di Dewan Rakyat. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN