4 ADUN Bersatu boikot sesi libat urus Kerajaan Negeri Pulau Pinang  - Utusan Malaysia

4 ADUN Bersatu boikot sesi libat urus Kerajaan Negeri Pulau Pinang 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Seramai empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di sini bertindak memboikot sesi libat urus ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) bersama barisan ADUN yang bermula hari ini. 

Keempat-empat ADUN Bersatu itu ialah Dr. Afif Bahardin (Seberang Jaya); Zulkifli Ibrahim (Sungai Acheh);  Khaliq Mehtab Mohd. Ishaq (Bertam) dan Zolkifly Md. Lazim (Teluk Bahang). 

Dalam satu kenyataan bersama mereka  mendakwa, keputusan memboikot sesi berkenaan berikutan tindakan berat sebelah pimpinan Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang  menarik balik peruntukan yang telah diluluskan pada 20 Januari lalu kepada ADUN pembangkang  berjumlah RM 60,000 menerusi surat yang dikeluarkan 19 Februari lalu. 

“Peruntukan tersebut amat penting untuk setiap ADUN bagi melaksanakan projek infrastruktur kemudahan rakyat dan awam. 

“Namun, kerajaan negeri mengambil pendekatan untuk bermain politik dan tidak profesional terhadap ADUN pembangkang tanpa menghiraukan cabaran yang terpaksa dihadapi oleh rakyat pada hari ini,” demikian menurut kenyataan itu di sini hari ini. 

Sesi Libat Urus berkenaan berlangsung selama dua hari bermula hari ini yang mana setiap Exco akan mengemas kini perkembangan dan pelaksanaan dasar dan projek di bawah portfolio masing-masing. 

Sesi berkenaan diadakan berikutan penggantungan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang sepatutnya berlangsung April ini susulan pengisytiharan Proklamasi Darurat yang diumumkan oleh Kerajaan Pusat. 

Dalam pada itu, keempat-empat ADUN berkenaan dalam kenyataan tersebut turut mendesak kerajaan negeri untuk berhenti menghukum rakyat dan tidak bermain politik ketika majoriti rakyat masih lagi berdepan dengan krisis kesihatan dan ekonomi. 

“Kami ADUN pembangkang akan tetap meneruskan khidmat dan berusaha untuk mendapatkan peruntukan daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang lebih prihatin dan tidak memilih bulu dalam melaksanakan segala program dan aktiviti berkaitan rakyat,” katanya. 

Sementara itu, tiga lagi ADUN pembangkang iaitu daripada UMNO dan Pas tidak menyertai tindakan boikot oleh ADUN Bersatu tersebut dan hadir pada sesi berkenaan yang bermula pukul 9 pagi. 

Ketua Pembangkang, Datuk Muhamad Yusoff Mohd. Noor (Sungai Dua – UMNO), Nor Hafizah Othman (Permatang Berangan – UMNO) dan Mohd. Yusni Mat Piah (Penaga – PAS) dilihat hadir pada sesi tersebut.  – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya