13 pemilik motosikal berputih mata kenderaan terbakar - Utusan Malaysia

13 pemilik motosikal berputih mata kenderaan terbakar

SEBANYAK 13 buah motosikal musnah dalam kejadian kebakaran Flat Pinang Emas, Batu Ferringhi, Pulau Pinang awal pagi tadi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Pemilik 13 buah motosikal di Flat Pinang Emas, Batu Ferringhi di sini berputih mata selepas motosikal mereka terbakar dipercayai angkara khianat dalam kejadian awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3.26 pagi itu, tujuh buah motosikal musnah manakala selebihnya terbakar pada sebahagian kecil kenderaan tersebut.

Seorang penduduk di flat berkenaan, Noreda Haja, 57, berkata, sebelum kebakaran itu berlaku, dia terdengar suara seperti orang sedang bergaduh kira-kira pukul 1 pagi di bahagian parkir Blok B flat tersebut.

“Selepas itu kira-kira pukul 2 pagi, keadaan menjadi riuh-rendah akibat berlaku kebakaran di parkir motosikal ini.

“Dua motosikal jenis Honda EX5 anak saya yang diparkir di situ sempat diselamatkan oleh orang ramai yang melihat kejadian berkenaan,” katanya di sini hari ini.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, punca sebenar kebakaran berkenaan masih dalam siasatan polis dan bomba.

Katanya, api dapat dikawal oleh anggota bomba dan dibantu penduduk flat berkenaan kira-kira pukul 3.40 pagi.

Tambahnya, siasatan awal mendapati tujuh motosikal yang musnah adalah empat buah jenis Honda EX5 dan masing-masing sebuah Yamaha LC 135; Honda C100 dan Honda Dash.

“Enam buah motosikal lagi yang mengalami kerosakan pada sebahagian kecil kenderaan tersebut adalah Suzuki Nex; Yamaha Ego; tiga buah Honda EX5 dan Yamaha RXZ termasuk sebuah Perodua Myvi,”katanya.

Katanya, semua pemilik kenderaan diminta ke balai polis untuk membuat laporan kerosakan dan kerugian akibat kejadian itu.

Sementara itu, Pegawai Bomba Kanan II Balai Bomba dan Penyelamat Bagan Jermal, Hassan Hussain berkata, tiada mangsa dalam kebakaran tersebut dan api dikawal sepenuhnya pada pukul 4.45 pagi. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.