Vaksin Covid-19 `harus' cegah jangkitan - Utusan Malaysia

Vaksin Covid-19 `harus’ cegah jangkitan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Sekurang-kurangnya 200 ulama dan profesional memutuskan keharusan terima vaksin Covid-19 demi mencegah jangkitan dan penularan wabak itu atas kepentingan menjaga nyawa dan kesihatan manusia.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Mufti Pahang, Datuk Seri Dr. Abdul Rahman Osman berkata, beberapa peringkat perbincangan dilaksanakan sebelum membuat keputusan itu bermula dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) membuat kertas berkaitan vaksin tersebut bersama Kementerian Kesihatan (KKM) dan disertai beberapa tokoh lain.

Menurut beliau, keputusan tersebut kemudian dibawa ke Jawatankuasa Panel Syariah Jakim.

Memuatkan artikel berkaitan…

Beliau memberitahu, selepas kertas berkenaan diluluskan di peringkat jawatankuasa itu, ia dibawa ke Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam yang dihadiri para mufti dan ahli jawatankuasa yang dilantik Majlis Raja-Raja.

“Selepas itu, persetujuan bersama dicapai di peringkat Jawatankuasa Fatwa negeri-negeri yang dianggotai 10 hingga 15 orang yang mengeluarkan fatwa di setiap negeri yang sepakat menyatakan vaksin tersebut harus dan boleh digunakan.

“Ini bermakna keseluruhan kesemua negeri sekitar 200 orang Jawatankuasa Fatwa di negeri-negeri membuat keputusan dan meletakkan keyakinan vaksin tersebut sumbernya halal serta tidak ada unsur-unsur daripada sumber binatang dan sebagainya,” katanya semalam.

Mesyuarat Khas Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam yang bersidang pada 3 Disember tahun lalu mengambil ketetapan bahawa hukum penggunaan vaksin Covid-19 adalah harus dan ia wajib diambil oleh golongan ditetapkan kerajaan.

Menurut Abdul Rahman, keputusan jawatankuasa itu juga dibuat selepas menerima pakai perakuan keselamatan vaksin oleh pihak berautoriti KKM yang merupakan pihak berkuasa tertinggi dalam hal ehwal kesihatan negara.

Katanya, walaupun wujud keraguan kajian vaksin memerlukan jangka masa panjang, namun pihak berkuasa agama mengambil mudarat yang lebih ringan kerana jika menunggu masa lebih lama, lebih ramai orang dijangkiti wabak kerana tidak mendapat vaksin.

Selain itu, katanya, keputusan turut bersandarkan kepada penerimaan kebanyakan ulama dunia antaranya Universiti Al-Azhar dan Kesatuan Ulama Sedunia yang memperakukan dan telah menerima suntikan vaksin itu.

“Justeru, ia diputuskan banyak pihak dan berkeyakinan penuh atas keputusan yang dibuat KKM bergantung kepada ‘Illah’ atau sebab yang memutuskan hukum itu.

“Sebagai contoh fatwa rokok atas sebab kumpulan pakar perubatan menyatakan ia boleh memudaratkan kesihatan tubuh, maka hukumnya diputuskan haram kerana pandangan ulama turut bersandarkan kepada pakar kesihatan jika ia berkaitan kesihatan,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×