KUALA TERENGGANU: Sejak akhir-akhir ini, riuh-rendah kontroversi isu agihan kerusi antara Pas dan UMNO Terengganu yang dikatakan menemukan jalan buntu.
Terbaharu, UMNO negeri yang dipimpin Datuk Seri Ahmad Said dikatakan menuntut 16 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan empat kerusi Parlimen sebagai syarat utama meneruskan kerjasama dengan rakan sekutunya dalam Muafakat Nasional (MN).
Berdasarkan keputusan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), UMNO hanya memenangi dua kerusi Parlimen iaitu di Besut dan Hulu Terengganu selain 10 kerusi DUN manakala Pas pula menguasai enam Parlimen dan 22 DUN.
Permintaan yang dikemukakan UMNO itu sekali gus melanggar formula status quo yang dipersetujui kedua-dua parti sebelum ini apabila pembahagian kerusi dibuat secara sama rata.
Dalam konteks ini, tentunya mustahil untuk Pas bersikap budiman dengan menghadiahkan sebahagian kerusi dimenangi kepada UMNO.
Sumber Pas memberitahu, tuntutan UMNO Terengganu itu sama sekali tidak masuk akal dan tidak akan dilayan parti tersebut.
“Mustahil untuk perkara itu berlaku, apa-apa pun kedua-dua parti perlu terus berbincang dan mempertahan formula status quo yang dipersetujui.
“Sekadar satu dua kerusi mungkin boleh dipertimbang, jika perkongsian secara sama rata, saya rasa itu mustahil,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Akhbar ini sebelum ini melaporkan pendirian UMNO Terengganu untuk bertanding di kesemua 32 kerusi DUN dan lapan Parlimen dalam PRU Ke-15 (PRU-15).
Ketua Penerangannya, Datuk Nik Dir Nik Wan Ku dilaporkan berkata, fokus dan gerak kerja UMNO negeri kini tertumpu ke arah pertandingan di semua kawasan.
Bagaimanapun, katanya, demi kestabilan politik dan negara, parti itu akur dengan apa jua keputusan pucuk kepemimpinan berhubung agihan kerusi dengan sekutunya, Pas. – UTUSAN ONLINE










