Sudah setahun tiada tarian singa - Utusan Malaysia

Sudah setahun tiada tarian singa

LEW Sai Tet menunjukkan kepala singa terbesar di Malaysia yang menjadi keunikan kumpulan tarian singa dikendalikannya di Dewan Latihan Persatuan Kesenian Gui Qing Sembilan di Rasah, Seremban semalam. - UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Akur dengan arahan tiada persembahan tarian singa dan naga bagi sambutan Tahun Baharu Cina tahun ini, tempat latihan tarian tersebut yang lazimnya meriah kali ini ia sepi serta lengang.

Ketua Jurulatih Tarian Singa Persatuan Kesenian Gui Qing Negeri Sembilan, Lew Sai Tet berkata, kebiasaannya sejak Ogos lagi, dewan persatuan tersebut mulai ‘hidup’ dengan latihan kira-kira 30 pemain tarian singa iaitu individu lelaki seawal usia enam tahun hingga 28 tahun.

Katanya, latihan biasanya dilakukan pada sebelah malam dan berjalan sejak kumpulan tarian singa di bawah kendaliannya itu digerakkan pada 1999.

“Aktiviti latihan langsung tidak diadakan sejak Mac tahun lalu iaitu ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kali pertama dilaksanakan.

“Kebiasaannya setiap kali musim perayaan, kami sudah mendapat tempahan tarian singa dan naga sehingga mencecah 100 tempahan di seluruh negara namun kini tidak lagi,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia Dewan Latihan Persatuan Kesenian Gui Qing Sembilan di Rasah, dekat sini, semalam.

Sai Tet yang 46 tahun terlibat dalam tarian singa sangat berharap pandemik Covid-19 dapat segera dihentikan penularannya sekali gus aktiviti kesenian tarian singa dan naga diteruskan.

“Ini adalah salah satu tradisi terpenting dalam Tahun Baharu Cina kerana singa dan naga melambangkan nasib baik serta dipercayai mengusir roh jahat,” katanya.

Dia juga berharap agar kerajaan dapat mempertimbang menyalurkan bantuan kepada lebih 1,200 kumpulan tarian singa yang tidak dapat membuat persembahan dan tiada pendapatan ketika ini untuk pembayaran bil utiliti tempat latihan.

Sementara itu, Sai Tet mengakui sedih kerana persatuan kendaliannya itu sudah lama tidak membuat persembahan.

Katanya, pemain-pemain tarian singa itu bukan hanya mengharumkan nama Negeri Sembilan bahkan negara apabila sentiasa muncul tempat ketiga teratas dalam pertandingan di peringkat antarabangsa.

“Kami banyak menyertai pertandingan di China, Singapura, Indonesia, Filipina sehingga ke Amerika Syarikat dan kebiasaannya mendapat tempat tiga teratas.

“Tarian singa kami juga unik kerana kami mempunyai kepala singa terbesar di negara ini yang dihasilkan atas sumbangan syarikat korporat yang hanya boleh dipikul 10 pemain tarian,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×