Remaja bawah umur direkrut jadi gengster - Utusan Malaysia

Remaja bawah umur direkrut jadi gengster

ABDUL HAMID BADOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Golongan remaja termasuk yang masih bawah umur dikenal pasti antara sasaran geng gengster untuk direkrut bagi menyertai kumpulan itu bagi menjalankan aktiviti jenayah termasuk pengedaran dadah.

Bukan itu sahaja, kumpulan gengster di negara ini juga turut dikesan terlibat dalam pergaduhan antara kumpulan selain melakukan ugutan jenayah dan pemerasan di tapak projek, premis serta kawalan keselamatan demi mencapai kepuasan dan matlamat mereka.

Paling membimbangkan, ada juga kumpulan gengster dikesan sanggup bertindak di luar batasan apabila berani terlibat dalam kes bunuh.

Mendedahkan kepada Utusan Malaysia, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, terdapat dua kategori geng gengster yang dikesan aktif bertapak di negara ini iaitu kumpulan kongsi gelap (secret society) dan samseng tempatan (thug gangs atau hooligan).

Yang mana, kata beliau, bagi kumpulan kongsi gelap, keahlian mereka adalah kecil selain tiada cawangan dan hanya diwujudkan di sesuatu kawasan sahaja serta tiada hubungan antara daerah dengan kawasan lain.

Malah, kata beliau, kumpulan ini juga tiada pemilihan ketua cawangan dan ahli jawatankuasa seperti Geng 21, Geng 18 serta lain-lain lagi yang dikenal pasti.

“Bagi samseng tempatan pu­la, kumpulan ini diwujudkan oleh golongan yang mempu­nyai niat jahat yang sama namun tiada struktur organisasi selain nama geng mereka akan diberikan ikut kesukaan ketuanya.

“Kumpulan ini tidak mempunyai prinsip atau peraturan yang perlu dipatuhi oleh ahli-ahlinya dan mereka hanya mengikut kehendak dan arahan ketuanya.

“Kebiasaannya, kumpulan ini, tidak mempunyai keahlian yang ramai, iaitu mencukupi sebanyak lima sehingga enam orang dalam satu kumpulan,” katanya di sini.

Mengulas lebih lanjut, ujar Abdul Hamid, dalam tempoh 2016 sehingga tahun lalu, seba­nyak 1,868 kes jenayah kekerasan dilaporkan membabitkan kongsi gelap dan samseng tempatan ini.

Kata beliau, antara kesalahan tertinggi yang dicatatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) adalah merusuh apabila sebanyak 635 kes dilaporkan diikuti, mence­derakan orang (429 kes) dan Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) (259 kes) sepanjang tempoh itu.

“Selain itu, sebanyak 199 kes lagi adalah ugutan jenayah di­ikuti pemerasan (95 kes), khia­nat (80 kes), khianat dengan api (69 kes) dan bunuh (39 kes).

“Antara lain-lain kesalahan yang turut dilaporkan ialah samun apabila 42 kes dicatatkan dalam tempoh sama selain mereka yang terlibat di bawah kesalahan Akta Bahan-Bahan Kakisan, Letupan Dan Senjata Berbahaya (ABKLSB) dan senjata api (21 kes),” jelasnya.

Terdahulu, Utusan Malaysia mendedahkan sebanyak 72 geng samseng masih aktif di negara ini, malah ancaman gengste­risme jika dibiarkan tidak mustahil boleh mengundang Malaysia menjadi seperti ‘Chicago 1930-an’.

Mengambil contoh Chicago ketika itu, aktiviti gengsterisme ketika itu hampir melumpuhkan kedaulatan undang-undang Amerika Syarikat (AS) sehingga menyebabkan kegiatan mafia bermaharajalela.

Timbalan Pengarah (Risikan/Operasi) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Dev Kumar yang bimbang terhadap ancaman itu kepada Utusan Malaysia berkata, sejak 2013, Kementerian Dalam Ne­geri (KDN) melalui risikan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mewar­takan sebanyak 72 kumpulan sebagai pertubuhan haram yang menjalankan aktiviti kongsi gelap dan gengsterisme.

Menurut beliau, daripada jumlah itu, sebanyak 49 kumpulan gengster dikenal pasti bertapak di negara ini pada 2013 manakala 23 lagi ditubuhkan pada 2015 dengan jumlah ahli semuanya 9,042 orang.

Jelasnya, kegiatan itu di­khua­tiri meningkat kerana ke­belakangan ini aktiviti gengsterisme terus agresif apabila ahli kongsi gelap berkenaan secara terang-terangan mula me­lakukan rusuhan sesama kumpulan bagi merebut kawasan jajahan untuk melakukan jena­yah khususnya menjalankan aktiviti pengeda­ran dadah dan perjudian.

Menyedari akan perkara itu, PDRM tidak pernah berdiam diri, malah polis terus mengambil tindakan terhadap semua kumpulan kongsi gelap menerusi Op Cantas dan mengisy­tiharkan perang terhadap kongsi gelap. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN