KOTA BHARU: Tahukah hampir 1,000 ekor lembu ‘ditumbangkan’ setiap bulan di Kelantan atau tidak kurang 30 ekor sehari sepanjang tempoh 2019?
Dengan jumlah itu, negeri Cik Siti Wan Kembang jauh meninggalkan negeri-negeri lain yang merekodkan antara 10 hingga 26 ekor lembu disembelih sehari.
Bilangannya juga didapati hampir setara pada setiap bulan, kecuali Mei (Hari Raya Aidilfitri) dan Ogos (Hari Raya Aidiladha) yang menyaksikan peningkatan sehingga lebih 2,100 ekor disembelih.
Menurut Perangkaan Ternakan 2019/2020 Jabatan Perkhidmatan Veterinar, bilangan lembu pedaging pada 2019 di negeri ini mencecah 85,375 ekor atau 15.6 peratus daripada penternakan lembu pedaging negara bagi tahun itu.
Kelantan muncul sebagai negeri pengeluar lembu pedaging kedua tertinggi di belakang Pahang yang merekodkan 125,176 ekor atau 22 peratus daripada penternakan lembu pedaging negara.
Bagi tempoh dua tahun sebelumnya iaitu 2017 dan 2018, jumlah penternakan lembu pedaging negeri ini dilaporkan tidak jauh berbeza, selain kekal di kedudukan kedua tertinggi.
Dari segi penyembelihan, Kelantan sekali lagi berada di tempat kedua apabila 13,122 ekor lembu disembelih di negeri ini pada 2019.
Selangor mencatatkan jumlah penyembelihan tertinggi iaitu 15,174 ekor lembu, namun rekod bulanannya tidak konsisten sebagaimana Kelantan.
Berdasarkan perangkaan, sekitar 600 hingga 800 ekor lembu disembelih di negeri itu setiap bulan atau 20 hingga 26 ekor sehari, sebelum naik mencanak melebihi 4,000 ekor pada Mei dan Ogos.
Pahang sebagai negeri penternakan lembu pedaging terbesar di Malaysia pula jauh ketinggalan apabila sekadar merekodkan penyembelihan 5,313 ekor lembu sepanjang 2019.
Dalam pada itu, Utusan Malaysia difahamkan, hampir 100 peratus daripada 13,122 ekor lembu yang disembelih di Kelantan pada tahun tersebut adalah semata-mata untuk memenuhi permintaan dalam negeri.
Jika diambil kira rekod ‘luar biasa’ itu maka tidak dapat disangkal, rakyat Kelantan sememangnya juara makan daging lembu tempatan di negara ini.
Sementara itu, tinjauan mendapati dua bulan kebelakangan ini, rakyat Malaysia mula cenderung membeli daging lembu tempatan, biarpun harganya mencecah hampir RM40 sekilogram berbanding daging import RM27 sekilogram.
Rasa was-was terhadap status halal produk dari luar negara, susulan terbongkarnya kegiatan kartel daging import awal Disember 2020 mempengaruhi pembelian daging tempatan.
Zakaria Awang, 69, yang membuka gerai di Jalan Pasir Puteh-Kota Bharu di sini berkata, permintaan terhadap daging lembu tempatan kekal stabil tanpa mengira musim dan hanya meningkat mendadak ketika sambutan Aidilfitri dan Aidiladha.
Bagaimanapun, katanya, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan PKP Bersyarat (PKPB) kali ini menyebabkan ramai pelanggan setianya ‘hilang’ gara-gara tidak dibenarkan merentas daerah.
“Tetapi saya bersyukur jualan daging lembu saya masih habis. Secara purata, saya menyembelih dua ekor lembu baka limousine yang diternak sendiri setiap hari dan menambah seekor lagi pada hujung minggu,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.- UTUSAN











