PPK cadang wujud ladang tanaman rumput napier bersepadu

PPK cadang wujud ladang tanaman rumput napier bersepadu

MOHD. Shakran Shamsudin (kiri) dan Abdul Razak memantau rumput napier yang ditanam sekitar tepi jalan menghala ke Lebuhraya SKVE di Teluk Panglima Garang, Kuala Langat, Selangor semalam. – FOTO/ABDUL RAZAK IDRIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LANGAT: Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kuala Langat bercadang mewujudkan ladang tanaman rumput napier secara bersepadu seluas lapan hektar di Morib.

Pengurus Besarnya, Mohd.Shakran Shamsudin berkata, dengan adanya ladang tanaman itu, ia membolehkan da­ging lembu dapat dipasarkan dengan lebih murah kerana kos penge­luaran makanan dapat dikurangkan.

Menurutnya, buat masa ini, tiada ladang khas dibuat untuk menanam rumput Napier dan penternak hanya memanfaatkannya di kawasan tanah kosong dan di tepi jalan.

“Untuk memberi makan kepada ternakan, penternak perlu membeli kos rumput napier tempatan dari luar dengan harga RM350 satu tan. Sekiranya ada ladang tanaman rumput, kita boleh mengurangkan kos sehingga menjadi RM150 satu tan sekali gus dapat menjimatkan kos penternakan.

“Setakat ini, kita telah memohon untuk menanam rumput di kawasan tanah milik Jabatan Perkhidmatan Veterinar Selangor seluas lapan hektar di Morib.

Perkara ini masih dalam pro­ses, tetapi telah mendapat perhatian Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur & Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Ir. Izham Hashim.

“Malah, dengan pengurangan kos ini, harga jualan daging dapat dikurangkan kepada RM30 hingga RM32 sekilogram berbanding buat masa ini RM36 manakala harga daging sejuk beku import RM20 sekilogram,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di kawasan tanaman rumput napier di tepi jalan di Teluk Panglima Garang di sini semalam yang turut dihadiri Pengerusi PPK Kuala Langat, Dr. Abdul Razak Khasbullah.

Dalam pada itu, Mohd.Shakran berkata, ladang tanaman rumput napier mampu memberi manfaat kepada 35 penternak dengan jumlah lembu sebanyak 4,000 ekor.

Katanya, dengan adanya sumber makanan haiwan dari daerah yang sama, kesemua penternak akan mendapat manfaat daripada sudut kos dan membolehkan jumlah lembu ditambah 10 hingga 20 peratus pada masa hadapan.

“Mengikut data, kawasan seluas 0.4 hektar mampu menghasilkan 30 tan rumput napier dan boleh memberi hasil dengan produktif selama lebih lima tahun dengan lima hingga enam kali pusingan penanaman.

“Apabila ladang napier ini ada, kita boleh memberi fokus untuk membekalkannya kepada penternak tempatan,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya