PKR persoal keabsahan Muhyiddin - Utusan Malaysia

PKR persoal keabsahan Muhyiddin

FAHMI FADZIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: PKR mempersoal keabsahan kepemimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang sudah setahun memegang jawatan Perdana Menteri walaupun belum mendapat undi percaya di Parlimen.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil berkata, secara ‘tradisi’, pemerintahan sebelum ini di bawah pentadbiran Tun Hussein Onn dan Tun Abdullah Ahmad Badawi membuat usul undi percaya dalam Parlimen.

Namun, perkara itu tidak berlaku kepada Muhyiddin meskipun terdapat 25 ahli Parlimen mengusulkan perkara yang sama untuk membuat undi tidak percaya di Dewan Rakyat.

“Isu asas yang dihadapi pentadbiran Muhyiddin adalah keabsahan. Kalau kita lihat dua keadaan sebelum ini, peralihan kuasa daripada Tun Razak Hussain kepad Tun Hussein Onn dan Tun Dr. Mahathir (Mohamad) kepada Pak Lah (Abdullah Ahmad Badawi). Terdapat usul undi percaya yang dibawa oleh ahli Parlimen penyokong kerajaan terhadap Tun Hussein Onn dan kemudiannya Pak Lah. Itu perkara pertama diambil alih jawatan Perdana Menteri.

“Malangnya kita dah hampir setahun Muhyiddin menggalas tugas sehingga kini, belum ada ujian di Parlimen untuk dia dan semua tahu tentang usul tidak percaya yang pernah kita hantar pada persidangan lepas. Tapi tidak ada tindakan,” katanya.

Allahyarham Tun Hussein mengadakan sidang tergempar Parlimen pada 26 Jan 1976 iaitu 11 hari selepas pelantikannya sebagai Perdana Menteri ketiga berikutan kematian Perdana Menteri ketika itu, Allahyarham Abdul Razak.

Ia berbeza dengan kepimpinan Muhyiddin iaitu usul undi tidak percaya yang dikemukakan pembangkang dalam sidang Dewan Rakyat pada Oktober 2020 tidak dibahaskan meskipun berada dalam aturan mesyuarat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Takiyuddin berkata, peraturan mesyuarat 15 (1) jelas menyatakan bahawa urusan kerajaan hendaklah didahulukan daripada urusan lain, memandangkan tidak ada langsung bentuk yang menggambarkan Muhyiddin hilang majoriti.

Dalam pada itu, Fahmi berkata, pihaknya belum membincangkan sama ada usul yang sama iaitu undi tidak percaya dikemukakan pada persidangan Dewan Rakyat kali ini.

Katanya, Pakatan Harapan (PH) meletakkan isu berkaitan Covid-19 sebagai keutamaan dan menyarankan kebimbangan rakyat menghadapi pandemik ini. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN