KUALA LUMPUR: Kerajaan Perak akan menggantikan polisi yang sudah lapuk bagi memastikan sistem penyampaian dan perkhidmatan kepada orang ramai lebih lancar dan pantas.
Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, ada sesetengah Piagam Pelanggan kerajaan negeri sudah tidak lagi relevan sepenuhnya dengan keadaan semasa, justeru perlu diberikan penambahbaikan atau pengubahsuaian segera.
Menurutnya, antara polisi-polisi yang perlu diberikan perhatian segera melibatkan urusan tanah dan bayaran kerja-kerja kontraktor.
“Ada aduan daripada orang ramai mengenai kelewatan sesuatu proses dalam urusan tanah. Ada keputusan yang tidak boleh dibuat serta-merta kerana melibatkan banyak agensi.
“Inilah sistem penyampaian yang perlu diperbaiki. Masa sudah berubah, mungkin ada kaedah baharu. Lagipun kita ada sistem e-Tanah, patutnya lebih memudahkan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, baru-baru ini.
Jelas Sarani, sistem penyampaian yang lembab sedemikianlah yang sering menghantui orang ramai setiap kali berurusan dengan jabatan dan agensi kerajaan negeri.
Saarani yang juga Pengerusi UMNO Perak mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar ke-14 pada 10 Disember lalu.
Beliau menggantikan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang gagal mendapat kepercayaan majoriti dalam undi percaya terhadap beliau dalam sidang Dewan Undangan Negeri. – UTUSAN










