fbpx

Pengusaha tinted tidak dibenar beroperasi dibawa ke MKN

ABDUL Yunus Jamahri (kanan) menyampaikan sumbangan kotak makanan dan angpau kepada penerima sempena sambutan Tahun Baharu Cina di Tanjung Piandang, Parit Buntar, Perak, hari ini. - GAMBAR: WAT KAMAL ABAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PARIT BUNTAR: Kerajaan negeri akan berbincang dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi membolehkan pengusaha kedai aksesori filem penapis haba atau tinted kenderaan di negeri ini dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 dilaksanakan.

Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Integrasi Nasional dan Masyarakat Sivil negeri, Datuk Abdul Yunus Jamahri berkata, langkah itu bagi membantu pengusaha kedai terbabit mengelakkan kerugian.

Beliau turut memohon MKN memberi kelonggaran agar membenarkan peniaga selain daripada yang menjual makanan turut beroperasi dalam pasar malam dan pasar pagi semasa tempoh PKP 2.0.

Katanya, golongan itu antara yang teruk terjejas dan kehilangan sumber pendapatan utama bagi menyara keluarga mereka.

“Saya percaya para peniaga selain daripada yang menjual makanan mampu mematuhi garis panduan prosedur operasi standard (SOP) dikeluarkan MKN dan Kementerian Kesihatan.

“Masalah para peniaga selain daripada yang menjual makanan ini akan saya rujuk dengan MKN untuk diberi kelonggaran untuk mereka dibenarkan berniaga.

“Sama ada dibenarkan beroperasi ataupun tidak terpulanglah kepada pihak MKN untuk membuat keputusan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan sumbangan kotak makanan dan pemberian angpau sempena Tahun Baharu Cina di Tanjung Piandang, di sini hari ini.

Semalam, Utusan Malaysia melaporkan keluhan pengusaha kedai aksesori filem penapis haba kenderaan di negeri ini yang kecewa apabila tidak dibenarkan beroperasi sepanjang PKP 2.0 dilaksanakan.

Difahamkan, penguatkuasaan untuk penutupan operasi hanya dijalankan di Perak walaupun model perniagaan kedai berkenaan termaktub di bawah automotif yang dibenarkan beroperasi.

Selain itu, kesemua kedai berkenaan juga mendapat kelulusan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) namun ada pengusaha mendakwa diarahkan menutup kedai oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Perak.

Pengusaha kedai terbabit kesal apabila arahan penutupan itu hanya berlaku di negeri ini sedangkan semua SOP yang ditetapkan diikuti pihaknya.

Sementara itu, pada majlis tersebut, Abdul Yunus yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Kurau menyampaikan sumbangan kotak makanan kepada 100 penerima terdiri daripada masyarakat Cina dari golongan B40 yang disampaikan dari rumah ke rumah di kawasan DUN Kuala Kurau sempena menyambut Tahun Baharu Cina tidak lama lagi.

Selain kotak makanan, beliau menyampaikan angpau sebanyak RM50 kepada penerima sumbangan. – UTUSAN ONLINE

POPULAR

KOSMO! TERKINI