Pengorbanan Kedah tidak dihargai - Utusan Malaysia

Pengorbanan Kedah tidak dihargai

TANAMAN padi yang menghasilkan beras adalah makanan ruji rakyat Malaysia.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENGORBANAN Kedah cukup besar apabila sanggup mempertahan kawasan sawah padi bagi menjamin keselamatan makanan negara walaupun pada masa yang sama terpaksa kekal berstatus antara negeri miskin.

Kedah selama ini jauh ketinggalan daripada arus pembangunan berbanding negeri-negeri lain semata-mata mahu mengekalkan gelaran negeri Jelapang Makanan.

Malah, menerusi Pelan Pembangunan Kedah 2035, kerajaan negeri itu mempunyai perancangan untuk mengekalkan tanah sawah padi bagi menjamin bekalan beras negara tidak terjejas.

Jumlah keluasan kawasan sawah di bawah Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) adalah 100,685 hektar manakala keluasan tanaman padi di luar kawasan MADA pula dianggarkan kira-kira 26,598 hektar.

Tahun lalu, pengeluaran hasil padi di kawasan sawah di bawah MADA sahaja mencecah 1.204 juta tan metrik yang bernilai RM1.87 bilion.

Bagaimanapun, pengorbanan besar Kedah seolah-olah tidak dipandang serius oleh kerajaan Persekutuan apabila negeri tersebut tidak dibantu termasuk memberi insentif sebagai penghargaan kerana mempertahan kawasan sawah padi.

Walaupun tuntutan terhadap insentif itu difahamkan dikemukakan oleh beberapa menteri besar sebelum ini termasuk Muhammad Sanusi Md. Nor, namun masih tidak mendapat perhatian kerajaan Persekutuan.

Sebelum ini, Muhammad Sanusi memaklumkan Kerajaan Negeri Kedah meminta kerajaan Persekutuan memberi insentif bernilai RM170 juta bagi membolehkan negeri itu bertahan sebagai Jelapang Makanan.

Jumlah tuntutan sebenarnya masih kecil berbanding kutipan cukai yang dianggarkan berjumlah RM1.7 bilion sekiranya kawasan tanah padi itu ditukar kepada kawasan komersial.

Namun, Kedah pada masa ini sekadar mengutip hasil cukai di kawasan sawah padi kira-kira RM2.56 juta setahun.

Hasil pendapatan yang kecil disumbangkan melalui cukai hasil padi itu menyebabkan pembangunan di Kedah bergerak perlahan.

Pada masa sama, banyak pihak tidak berpuas hati apabila seluas 35,000 hektar kawasan sawah di negeri ini ‘hilang’ selepas ditukar dengan projek pembangunan komersial terutama di daerah Kota Setar, Kubang Pasu dan Pendang.

Harga tanah di kawasan tersebut yang murah juga menjadi tarikan kepada syarikat pemaju untuk ‘memborong’ tanah berbabit membina rumah dan pembangunan lain.

Tanah sawah tersebut diibarat seperti ‘pisang goreng panas’ apabila hanya dijual RM6 hingga RM8 kaki persegi berbanding di kawasan lain yang dijual pada harga RM18 hingga RM20 sekaki persegi.

Selain itu, kebanyakan tanah sawah dijual selepas generasi muda didapati tidak berminat lagi mengusahakan kawasan bendang dan mereka lebih teruja bekerja di sektor lain. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×