Pemvaksin penerima pertama - Utusan Malaysia

Pemvaksin penerima pertama

Datuk Seri Dr. Adham Baba ketika ditemu bual mengenai pemberian imunisasi vaksin Covid-19 di Kementerian Kesihatan Malaysia di Putrajaya baru-baru ini.-UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kira-kira 4,200 vak­­sinator atau pemvaksin da­lam kalangan petugas Kementerian Kesihatan (KKM) akan menjadi kumpulan terawal diberikan vaksin se­­belum mereka me­laksanakan tugas di bawah Pelan Imunisasi Co­vid-19 Kebangsaan kepada rak­yat bermula 26 Februari ini.

Vaksinator berkenaan adalah daripada 500,000 petugas barisan hadapan yang juga menjadi kumpulan pertama pe­nerima vaksin pada fasa pertama.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, semua pemvaksin dan 500,000 petugas barisan hadapan itu te­lah dikenal pasti dan dimaklumkan mengenai suntikan vaksin tersebut sebaik bekalan dari syarikat Pfizer tiba ke negara ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurut beliau, kerajaan akan menempatkan tujuh pemvaksin di setiap pusat vaksinasi yang meliputi 600 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di seluruh negara.
Katanya, setiap pemvaksin akan memberi suntikan vaksin kepada sekurang-kurangnya 30 orang sehari di setiap 600 PPV sekali gus dijangka mampu men­capai 126,000 orang dalam tempoh tersebut.

“Pada fasa pertama, seba­nyak 278 daripada 600 PPV telah di­kenal pasti dan bersiap sedia melaksanakan Pelan Imunisasi Vaksin Covid-19 Kebangsaan dengan dilengkapkan kemudahan tempat penyimpanan suhu ultra sejuk Ultra Low Temperature Freezer (ULTF).

“Kementerian Pertahanan, hospital universiti dan hospital swasta akan bersama-sama dengan KKM memberi vaksinasi kepada anggota barisan hadapan di fasiliti masing-masing,” kata beliau ketika ditemui di pejabat beliau beberapa hari lalu.
Dr. Adham berkata, sebaik vaksin Comirnaty di bawah Syarikat Pfizer tersebut tiba, ia akan dihantar ke 54 pusat simpanan vaksin yang bersuhu ultra sejuk, -75°C (+/-15°C).
Bagi melancarkan proses vaksinasi, jelas beliau, setiap penerima diberikan ‘Borang Kebenaran Suntikan Vaksin Covid-19’ untuk dilengkapkan maklumat sebelum hadir ke Pusat Pemberian Vaksin pada tarikh temu janji.

“Setiap hari temu janji, kita juga menyediakan senarai pe­nerima tambahan sebagai back up jika ada penerima vaksin tidak hadir atas faktor tertentu.
“Ini kerana vaksin dibuka perlu digunakan,” katanya.

Katanya, tempoh pelaksanaan imunisasi fasa pertama akan berlangsung dua bulan mengikut ketersediaan vaksin yang diperoleh secara berperingkat.

Bagi fasa kedua Dr.Adham memaklumkan, ia melibatkan warga emas dan kumpulan berisiko seperti individu menghidap penyakit saluran pernafasan kronik, penyakit jantung, kencing manis dan darah tinggi yang semuanya dianggarkan meliputi 9.4 juta penduduk.

Jelas beliau, pada tempoh tersebut, sejumlah 600 PPV fasiliti kerajaan selain melibatkan tambahan 3,000 fasiliti kesihatan swasta akan memberikan suntikan vaksin pada April hingga Ogos ini.

“Selebihnya akan divaksinkan dalam fasa ketiga yang melibatkan mereka yang berumur 18 tahun dan ke atas sekali gus dijangka mampu meliputi 70 peratus penduduk atau berjumlah 23.6 juta individu pada tahun ini.

“Tujuan kita membuat pelaksanaan secara berfasa ini kerana ketersediaan vaksin adalah terhad, jadi kita perlu utamakan mereka yang berisiko dengan jangkitan Covid-19,” katanya.

Dr. Adham berkata, matlamat utama kerajaan akhirnya ialah bagi memastikan rakyat mendapat pelindungan daripada jangkitan Covid-19 seterusnya membentuk imuniti.
Namun, kata beliau, individu yang sudah divaksin perlu terus mengamalkan kehidupan norma baharu iaitu 3W (wash, wear, warn) dan elakkan 3S (sempit, sesak dan sembang dekat).

“Kerajaan amat berhati-hati memberikan vaksin kepada rakyat terutama dari aspek keberkesanan, kualiti dan keselamatan sesuatu vaksin itu.

“Vaksin yang dibawa masuk ke dalam negara melalui proses penilaian ketat Badan Regulatori Farmasi Negara (NPRA) dan selanjutnya kelulusan dan pendaftaran pihak Berkuasa Kawalan Dadah Kebangsaan,” jelas beliau.

Sebelum divaksin, kata Dr. Adham, individu berkenaan disaring untuk mengetahui status kesihatan masing-masing bagi mengesan sejarah alahan teruk atau mempunyai penyakit-penyakit yang menyebabkan imuniti rendah.

Dalam pada itu, Dr. Adham berkata, orang ramai tidak perlu gusar kerana kerajaan berusaha memastikan bekalan vaksin mencukupi bagi menampung 70 peratus penduduk negara, sebagaimana jaminan dalam Pelan Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×