Pejabat Daerah Marang sasar sumbang telefon pintar kepada 100 pelajar - Utusan Malaysia

Pejabat Daerah Marang sasar sumbang telefon pintar kepada 100 pelajar

TUN Ahmad Faisal Tun Abdul Razak (kanan) menerima sumbangan telefon pintar daripada penyumbang Program Cakna Didik Marang Hebak di pekarangan Pejabat Pendidikan Daerah Marang, Terengganu, hari ini. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MARANG: Seramai 100 pelajar dalam kalangan keluarga B40 di daerah ini bakal menerima sumbangan telefon pintar secara percuma pada bulan ini bagi melancarkan proses Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Inisiatif dicetuskan Pejabat Daerah Marang menerusi Program Cakna Didik Marang Hebak itu bertujuan membantu meringankan beban keluarga yang kurang berkemampuan di samping pelajar yang berdepan cabaran PdPR.

Pegawai Daerah, Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak berkata, program yang julung kali diperkenalkan itu digerakkan menerusi hasil sumbangan syarikat swasta, individu dan Pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Berangan serta Parlimen Marang.

Katanya, tumpuan diberikan kepada penerima dalam kalangan calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

“Agihan pertama sebanyak 10 telefon pintar dan kad sim dibuat esok membabitkan pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Awang Jabar dan SMK Merchang.

“Bagaimanapun, jika tiada calon peperiksaan berkelayakan maka sumbangan akan diagihkan kepada pelajar lain yang memerlukan dan kita menyasarkan untuk mengagihkan kesemua 100 gajet bernilai kira-kira RM250 setiap satu itu pada bulan ini,” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas menerima sumbangan awal 10 telefon pintar daripada Syarikat Marang Coara Sdn. Bhd. di pekarangan Pejabat Pendidikan Daerah hari ini.

Yang hadir sama ADUN Pengakalan Berangan, Sulaiman Sulong.

Tun Ahmad Faisal berkata, selain sumbangan gajet, pihaknya akan memberi wang tunai RM20 kepada 1,000 pelajar bagi pembelian data internet untuk proses PdPR yang berkesan.

“Semoga usaha murni daripada para penyumbang bagi merealisasikan Program Cakna Didik Marang Hebak dapat menjadi inspirasi kepada semua pihak untuk menyalurkan bantuan kepada pelajar yang layak bagi menjamin sesi pembelajaran mereka dapat diteruskan dalam suasana norma baharu ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya