Pegawai, anggota polis perlu ikut perkembangan semasa arahan - Utusan Malaysia

Pegawai, anggota polis perlu ikut perkembangan semasa arahan

MOHD. Hanafiah Arshad (tengah) membuat pemantauan petugas di SJR Salak - Nilai dalam program 'General Turun Padang', semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Pegawai, anggota polis perlu ikut perkembangan semasa arahan

Oleh NUR SHARIEZA ISMAIL/pix (msa)
[email protected]

SEPANG: Pegawai dan anggota polis perlu sentiasa mengikuti perkembangan semasa arahan yang dikeluarkan kerajaan sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Penolong Pengarah Pengurusan Aduan Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner, Mohd. Hanafiah Arshad berkata, hal itu penting supaya tidak timbul sebarang isu membabitkan aduan daripada orang awam.

“Bukan mahu salahkan anggota jika arahan itu sentiasa berubah tetapi anggota bertugas perlu sentiasa mengikuti perkembangan terkini supaya tidak timbul sebarang isu,” katanya ketika mengadakan lawatan ke lokasi sekatan jalan raya (SJR) Salak – Nilai dalam Program ‘General Turun Padang’ di sini semalam.

Yang hadir sama Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof.

Sementara itu, Hanafiah berkata, aduan mengenai ketidakpuasan hati orang ramai terhadap petugas-petugas keselamatan kerana bercakap kasar ketika melalui SJR banyak diterima sejak PKP 1.0 dilaksanakan, Mac tahun lalu.

“Bagaimanapun, kita mengambil maklum aduan itu dan kemudian diserahkan kepada ketua polis daerah (KPD) untuk memberi nasihat kepada petugas supaya lebih berdisiplin.

“Begitupun, kebelakangan ini kurang aduan sedemikian diterima kerana mungkin orang awam memahami situasi petugas yang perlu bekerja dalam keadaan panas.

“Dalam hal ini, tidak boleh menyalahkan polis semata-mata dan orang awam perlu sama bertolak ansur,” katanya.

Selain itu, katanya, aduan mengenai kesesakan lalu lintas ketika waktu puncak turut diterima orang awam yang mahukan dua laluan dibuka.

“Polis juga mengambil maklum aduan tersebut dan disalurkan kepada KPD atas kebijaksanaan menimbang akan kesesuaian,” katanya.

Beliau berkata, sepanjang lawatannya di 10 SJR di bawah Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang, beliau berpuas hati dengan kekuatan pegawai dan anggota yang ditempatkan di SJR, disiplin serta lokasi.

“Lawatan saya ini bagi menyahut arahan daripada Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador yang mahu pegawai turun ke padang bagi tujuan melawat tempat SJR selain memberi semangat dan motivasi kepada petugas di SJR,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN